DAP Sabah gesa GRS nyatakan pendirian berhubung kenyataan Yong

yong-teck-lee.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang ketua pemuda DAP Sabah menggesa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan sama ada ia bersetuju dengan pendirian salah seorang pemimpin kanannya, yang mahu hanya parti berasaskan tempatan bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

Setiausaha Pemuda DAP negeri Chan Long Wei berkata beliau tertanya-tanya sama ada kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee (gambar) mencerminkan sentimen GRS.

“Jika ini tidak, maka GRS mesti menjelaskan pendirian mereka,” katanya, dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Katanya penjelasan itu penting untuk menentukan apakah ia pendirian GRS atau hanya langkah mementingkan diri sendiri oleh SAPP.

“Sekiranya mereka (GRS) tidak bersetuju, tindakan tatatertib mesti diambil terhadap Yong kerana mengganggu-gugat keharmonian Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Chan menegaskan Pakatan Harapan Sabah memainkan peranan penting dalam menstabilkan landskap politik tempatan semasa krisis politik Sabah pada Januari.

“Jika GRS tidak menghargai bantuan yang diberikan semasa kemelut politik baru-baru ini, ia adalah sesuatu yang perlu dikesalkan.

“Pakatan telah membantu GRS dalam mengekalkan kestabilan politik semasa krisis, berpegang kepada prinsip menentang mana-mana kerajaan pintu belakang daripada mengambil alih.

“Sekiranya bantuan ini tidak dihargai, maka kerjasama boleh dihentikan, kerana menghormati kedua-dua pihak,” tambahnya.

Dalam krisis politik Sabah pada Januari, Ketua Menteri dan pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor dapat mengekalkan kerajaan GRS dengan bantuan tujuh Adun Pakatan Harapan Sabah serta beberapa wakil pembangkang Barisan Nasional/Umno Sabah.

Krisis itu tercetus selepas Barisan Sabah memutuskan hubungan dengan kerajaan GRS.

Yong, yang juga timbalan pengerusi GRS, dilaporkan berkata parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung seharusnya tidak bertanding pada pilihan raya negeri yang dijadualkan pada 2025.

Bercakap selepas majlis SAPP di sini pada Ahad, Yong berkata memandangkan ia adalah pilihan raya negeri, hanya parti tempatan yang patut bertanding.

“Saya akan mencadangkan parti mesra GRS termasuk Pakatan, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional untuk tidak mengambil bahagian.

“Ini bagi mengelak sebarang pertindihan calon yang bertanding dalam pilihan raya,” katanya, seperti dipetik Borneo Post.

SAPP adalah salah satu daripada tujuh parti komponen GRS yang menerajui kerajaan negeri yang turut merangkumi Pakatan Harapan Sabah.

Ia juga merupakan sebahagian daripada gabungan Perikatan di peringkat persekutuan, dengan Yong sebagai salah seorang seorang timbalan pengerusinya.

Chan menegaskan bahawa kenyataan Yong juga menimbulkan persoalan sama ada GRS bersedia untuk menentang Pakatan dan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata Yong secara terbuka mengisytiharkan kedudukannya dalam Perikatan walaupun bersama GRS, yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada masa ini, memandangkan SAPP kekal dalam Perikatan Nasional, rakyat Sabah akan menilai sendiri dan membuat keputusan mereka dalam pilihan raya akan datang. Bagi Yong, masa akan mendedahkan motif sebenarnya.

“Bagi Pakatan, kami bersedia untuk mempertahankan kerusi kami dengan bersungguh-sungguh, berdiri bersama Anwar dan Kerajaan Perpaduan untuk menjaga kepelbagaian Malaysia dan melindungi hubungan etnik dan agama di Sabah yang harmoni.

“Ringkasnya, DAP dan Pakatan Sabah memberi tumpuan untuk membina semula ekonomi bersama-sama Kerajaan Persekutuan untuk Sabah dan Malaysia,” kata Chan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top