Dana RM3 juta diguna bina telaga tiub atasi isu bekalan air UMS

air-ums.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memberikan taklimat berhubung projek penggalian telaga tiub yang dilaksanakan di universiti itu, di sini, hari ini.

Difahamkan, projek itu dibiayai menggunakan peruntukan RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu bagi membantu UMS menangani masalah kekurangan bekalan air di kampusnya.

Taklimat kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud itu dijadual diadakan di Bilik Pustaka Mini, Kolej Kediaman Tun Pangiran Ahmad Raffae pada jam 8.45 pagi.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri meminta penjelasan berhubung peruntukan itu selepas membaca mengenai tindakan pelajar UMS menyambut kedatangan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dengan mengadakan demonstrasi berhubung isu air pada Isnin lalu.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansor, dilaporkan berkata sebanyak enam telaga tiub dibina di kampus universiti itu sebagai sumber alternatif bagi menambah bekalan air di kolej kediaman pelajar.

Katanya, projek itu merangkumi sistem pembinaan perpaipan untuk telaga tiub dengan satu daripadanya sudah siap, manakala lima lagi dijangka siap pada Mac depan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa peruntukan RM3 juta yang disalurkan kepada UMS itu tidak hilang atau digunakan untuk tujuan yang tidak sewajarnya.

“Wang RM3 juta itu diurus oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan bukan oleh pihak UMS sendiri,” katanya.

Semalam, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, turut menyebut bahawa peruntukan itu tertakluk kepada kaedah perolehan kerajaan di bawah ICU Sabah dan bukan dengan UMS.

Beliau turut mengulas mengenai pembinaan telaga tiub di UMS yang disifatkannya hanya untuk mengurangkan gangguan dan bukan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kampus universiti itu.

Sebelum ini, kampus UMS, khususnya kolej kediamannya dilapor berdepan isu air yang kritikal hingga ada pelajarnya mengakui tidak mandi berhari-hari disebabkan masalah itu.

Punca utama masalah itu ialah kekurangan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran, namun kerajaan negeri menjangkakan masalah itu dapat diatasi sebelum akhir bulan ini.

Turut menyumbang masalah itu ialah perbuatan mencuri air yang didakwa dilakukan penghuni setinggan berikutan kewujudan koloni setinggan yang besar dengan kira-kira 12,000 rumah di kawasan Sepanggar seperti dijelaskan Abdul Rahman, kelmarin.

Bagaimanapun, tinjauan di kampus UMS, kelmarin mendapati pelajar di kolej kediamannya sudah mula mendapat bekalan air yang ditampung menerusi penghantaran lori tangki dan keadaannya lebih baik sebelum lawatan Zambry pada Isnin lalu.

Berita asal: BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top