Zon Maritim Lahad Datu tahan dua bot lakukan aktiviti tarik tepi

maritim-lahad-datu.jpg

Salah satu bot nelayan yang ditahan dalam operasi berkenaan. (Kredit foto: APMM)

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Dua bot nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan ditahan pihak Zon Maritim Lahad Datu kira-kira pada jam 10.24 pagi dan 10.40 pagi baru-baru ini.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Maritim Mohd Firdos bin Ayob berkata, bot peronda Maritim Malaysia dalam OP PLUTO TIMUR 2/2013 dan OP TIRIS 3.0 telah mengesan dua bot nelayan sedang menjalankan aktiviti menarik pukat berhampiran kawasan daratan kira-kira pada kedudukan 1.1 dan 1.2 batu nautika Timur Perlabuhan Kunak.

Pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit mendapati, lima lelaki terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Filipina berumur di antara 22 hingga 51 tahun berada di atas bot itu disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat pada jarak 1.1 dan 1.2 batu nautika dari daratan.

Kesemua kru, bot serta muatan hasil laut ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan di bawah Akta Perikanan 1985.

Bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut yang disita dianggarkan bernilai lebih RM180 ribu.

Mohd Firdos dalam pada itu menjelaskan, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan ke atas kes-kes yang melibatkan nelayan tempatan yang melanggar syarat sah lesen dengan mengambil kesempatan menarik pukat berhampiran daratan.

Ini kerana aktiviti menarik pukat pada jarak yang berhampiran pantai boleh merosakkan ekosistem laut dan mengganggu aktiviti perikanan nelayan-nelayan tradisional di kawasan pantai.

Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

Sumber: Maritim Malaysia

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top