Zon Ecolinc Kinabalu Perlu Dilindungi – Joniston

joniston.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Zon Ecolinc Kinabalu perlu dilindungi berikutan kedudukannya di kawasan tanah tinggi yang boleh memberi  impak signifikan kepada kawasan tanah rendah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, penerokaan tanah di kawasan itu akan membawa impak tinggi kepada kawasan-kawasan rendah di sepanjang sungai di Tuaran dan Kadamaian.

“Salah satu objektif utama projek Ecolinc ini adalah untuk mewujudkan rangkaian kawasan perlindungan komuniti di kawasan terpilih sebagai agen memberi lakian kepada kesinambungan habitat dan hidupan liar antara Taman Kinabalu dan Taman Banjaran Crocker.

“Aktiviti-aktiviti dibawah objektif ini bukan saja telah memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti dan kampung tetapi juga sekaligus dapat menjaga alam sekitar untuk mengekalkan khazanah alam agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata demikian pada majlis perasmian tapak eko-pelancongan dan pusat pemprosesan nanas di Zon Ecolinc Kinabalu di Pekan Nabalu di sini, pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Taman-Taman Sabah dan Penyelaras Projek Kinabalu Ecolinc, Ludi Apin, turut hadir mewakili Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim.

Ditaja oleh Kesatuan Eropah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah, Zon Ecolinc Kinabalu meliputi tujuh kampung di bawah daerah Kota Belud (Kadamaian), Tuaran dan Ranau.

Sejak ia dimulakan 2014, projek Kinabalu Ecolinc telah memberi peluang kepada kominiti luar bandar untuk terlibat secara langsung dalam memanfaatkan program yang dijalankan, khususnya dalam aktiviti pertanian mampan dan pelancongan berasaskan komuniti.

Pihak STB, Taman-Taman Sabah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), dan Universiti Malaysia Sabah, antara lain, membantu menyediakan sokongan latihan untuk melengkapkan penduduk luar bandar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

Menyeru rakyat untuk mengambil kesempatan daripada inisiatif Kinabalu Ecolinc, Joniston berkata Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah akan terus menyokong projek kerjasama sedemikian yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya memuji usaha Taman-Taman Sabah dalam menyalurkan pelbagai aktiviti sosioekonomi dan pembangunan kapasiti kepada komuniti di pelbagai daerah. Saya berharap agar lebih ramai lagi komuniti yang berminat dan bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti sedemikian.

“Hari ini, kita melihat penubuhan eko-pelancongan berasaskan komuniti baru, dan kita berharap destinasi pelancongan berasaskan komuniti ini akan dikenali secara global,” katanya.

Tiga tapak pelancongan berasaskan komuniti yang baru dilancarkan ialah Eko-Pelancongan Kampung Kiau (Kota Belud), Eko-Pelancongan Kampung Tiong Simpodon (Kiulu), dan Eko-Pelancongan Kampung Wasai Kosigompoton (Kiulu).

Maklarin, dalam ucapannya yang disampaikan oleh Ludi berkata, Kinabalu Ecolinc komited untuk melaksanakan aktiviti utama iaitu pembentukan kawasan lindungan masyarakat; restorasi habitat merosot berasaskan komuniti; pembangunan pertanian lestari; dan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti yang berkaitan hutan untuk menyokong pengurusan hutan.

Sementara itu, penduduk kampung yang terlibat dalam aktiviti pelancongan berasaskan komuniti merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak kerana memberi mereka latihan yang amat diperlukan.

Mereka juga berharap inisiatif sebegini akan diteruskan bagi membantu penduduk luar bandar meningkatkan keupayaan, khususnya melalui aktiviti pelancongan dan pertanian. –Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top