Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju melantik Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai setiausaha agungnya yang baharu.
Zambry yang merupakan Adun Pangkor dan bekas Menteri Besar Perak menggantikan Tan Sri Annuar Musa.
Sebelum ini UMNO menamakan Datuk Seri Ahmad Maslan dilantik ke jawatan itu pada Januari lalu bagi menggantikan Annuar, tetapi cadangan melantik Ahmad itu ditolak oleh MCA dan MIC yang merupakan komponen BN.
Dalam perkembangan yang sama Mesyuarat Dewan tertinggi BN juga sebulat suara melantik Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man sebagai pengerusi jawatankuasa penyelaras BN Perlis yang baharu.
Mesyuarat Tertinggi BN yang diadakan secara maya itu turut dihadiri oleh kesemua empat parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menambahkan kekuatan jentera partinya di peringkat negeri bagi membantu program pendaftaran vaksin khususnya di kalangan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan penduduk di kawasan pedalaman.