Oleh: Tulus Budiman
Pada mulanya, sebagai orang biasa dan sebagai penyokong UMNO/PN saya tersentap juga bila membaca berita pelajar, yang juga Youtuber Veveonah Mosibin menafikan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mendakwa bahawa pelajar itu tidak mengambil peperiksaan ketika memanjat pokok dalam video tularnya.
Dan pelajar itu mengemukakan bukti yang dia tidak berbohong, menipu atau sengaja membuat gimik ‘untuk tujuan hiburan dan menambah pengikut youtube’ sebagai didakwa Zahidi.
Hati kecil saya berkata, kenapalah orang-orang UMNO (baca pemimpin-pemimpinnya) tak habis-habis buat kerja bodoh macam tu, lebih-lebih lagi dalam keadaan Sabah bakal menghadapi PRN macam sekarang.
Tetapi malam ini hati saya kembali sejuk apabila membaca berita Zahidi memohon maaf dan mengaku mendapat maklumat yang salah berhubung perkara itu.
Hidup ini mudah. Jika berbuat silap, mengaku salah sahajalah. Minta maaf. Tak payah nak heret burung hud-hud dan sebagainya.
Zahidi telah mengambil sikap yang terpuji. Dia tidak menunggu sehingga esok lusa, mencari salah pemberita ‘yang silap lapor’ atau membiarkan sahaja isu itu mati dengan sendiri.
Syabas Datuk. Tapi pesan saya, jangan lepaskan ‘penyiasat-penyiasat’ kementerian yang memberi maklumat palsu kepada Datuk itu begitu sahaja.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia selalu mengingatkan khalayak supaya berwaspada dengan berita dan maklumat palsu. Jadi tak sewajarnya pegawai kementerian (atau sesiapa pun yang menyiasat kes ambil periksa atas pokok ini) cuai dan alpa hingga ke tahap memalukan bos sendiri.