Zahid Perlu Buat SD Tidak Akan Bekerjasama Dengan Anwar – Tun Faisal

tun-faisal.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Umno Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz, mendakwa akar umbi parti meragui kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden susulan pendedahan Tan Sri Annuar Musa mendakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Tun Faisal berkata mereka akan menyokong semula Zahid sekiranya beliau membuat suatu akuan berkanun menyatakan Umno tidak akan bekerjasama dengan Anwar.

“Perlu buat sebab kita tengok seolah-olah presiden langgar dasar parti,” katanya kepada FMT, merujuk kepada ketetapan Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum ini yang menolak kerjasama dengan Anwar, di sebalik perselisihan antara parti Melayu dengan parti serpihannya, PPBM.

“Apabila buat akuan bersumpah, kita akan yakin dan sokong semula presiden.”

Sebelum ini, Ketua Umno Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor, mengumumkan bahagian itu menyokong kepimpinan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai perdana menteri.

Annuar selepas tersingkir sebagai setiausaha agung BN, mendedahkan beliau mempunyai bukti nyata Zahid memberikan surat sokongan untuk Agong melantik Anwar sebagai perdana menteri, sekali gus menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Pendedahan itu dibuat pada hari Zahid dijadualkan bermesyuarat dengan ketua-ketua bahagian Umno, yang kebanyakannya mahu memutuskan kerjasama dengan PPBM.

Sementara itu, Tun Faisal juga mahu bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, dirujuk ke lembaga disiplin parti susulan desas-desus beliau juga menyokong Anwar.

“Bawalah kesnya ini ke lembaga disiplin, mereka perlu tentukan kedudukan Najib. Laporan sudah didedahkan Annuar, kalau kata ia palsu, maka samanlah Annuar, buatlah laporan polis,” katanya.

Umno akan memutuskan sama ada menamatkan kerjasama dengan PPBM pada perhimpunan agung parti itu 31 Jan ini.

Sebagai blok terbesar dalam kerajaan PN, sebarang keputusan Umno menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, akan menumbangkan kerajaan dan kemungkinan mencetuskan pilihan raya umum (PRU).


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top