KOTA KINABALU: Naib Ketua Pemuda PPBM Caesar Mandela Malakun menyelar kenyataan bekas menteri negeri Datuk Dr Yusof Yacob mengenai barisan Kabinet negeri yang baharu.
Malakun berkata, komen Yusof itu tidak perlu dipandang serius memandangkan ia datang daripada seorang yang “tidak menyumbang apa-apa” selama 26 bulan sebagai menteri negeri.
Beliau berkata, bekas menteri pendidikan dan inovasi itu harus menyatakan sumbangannya sebagai “menteri daripada kementerian tiada kuasa yang tiada peruntukan dan objektif jelas” semasa Warisan memegang kuasa.
“Adakah dia memberikan apa-apa sumbangan kepada Sabah? Adakah dia mendapat sebarang peruntukan untuk ‘mengubah’ pendidikan Sabah? Adakah dia mencadangkan pelan transformasi pendidikan yang utuh kepada Sabah?” kata Malakun dalam kenyataan semalam.
Malakun berkata, Yusof yang juga Adun Sindumin, sekurang-kurangnya harus mengakui kementeriannya tidak berkhidmat untuk sesiapa pun kecuali Warisan dan jentera propaganda parti itu.
Dalam kenyataan kelmarin, Yusof memperlekehkan barisan Kabinet baharu itu dengan menyatakan ia bukan gabungan mantap kerana kebanyakannya terdiri daripada “muka baharu”.
“Secara keseluruhannya, Kabinet bukanlah kombinasi mantap kerana rata-rata terdiri dari orang baru yang tiada latar belakang berwibawa dan tiada rekod pencapaian cemerlang peribadi di masa lalu,” kata Yusof.
Bagaimanapun, Malakun berkata selain Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, yang juga seorang menteri persekutuan, menteri Sabah lain sebelum ini tiada sebarang pengalaman pada peringkat negeri, termasuk Yusof.