TAWAU: Usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat bukan sahaja melalui bantuan modal, tetapi juga menyediakan latihan dan pendedahan kepada tatacara pengurusan perniagaan.
Langkah itu jugalah yang dilakukan oleh Yayasan Usaha Maju (YUM) salah sebuah agensi kerajaan negeri yang berperanan membantu usahawan-usahawan wanita di negeri ini.
Menegaskan mengenai perkara itu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata YUM juga berperanan memupuk semangat kerjasama di kalangan ahli-ahlinya untuk sama-sama beroleh kejayaan.
“Akhirnya apabila (seseorang) usahawan itu telah berjaya, dia akan dapat membayar kembali pinjamannya kepada YUM bagi membolehkan YUM membantu lebih ramai lagi kaum wanita,” katanya pada sidang media di majlis Sambutan Hari Keluarga Yayasan Usaha Maju (YUM) cawangan Tawau, di sini, pada Sabtu.
Sebelumnya, dalam ucapan merasmikan majlis itu, Nizam berkata kerajaan negeri komited membantu Yayasan Usaha Maju (YUM) melaksanakan peranannya dengan baik dan menyediakan peruntukan-peruntukan kewangan yang sewajarnya bagi membolehkan yayasan itu beroperasi dan memberi perkhidmatan pinjaman kepada ahli dan peminjam lain.
Dana YUM adalah hasil daripada pelbagai sumber sama ada dalam bentuk peruntukan khas kerajaan ataupun pinjaman mudah kerajaan yang perlu dibayar balik.
“Modal pusingan pinjaman YUM perlu dijaga serta dipastikan mencukupi untuk digunakan dan dipinjamkan semula kepada peminjam yang lebih ramai.
“Justeru pinjaman ini perlu sampai kepada mereka yang memerlukan, digunakan mengikut cadangan pinjaman, dilabur dalam perniagaan yang berpotensi serta dibayar balik mengikut jumlah dan masa yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, kejayaan menggunakan modal pinjaman YUM dengan baik, bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan mereka, malah ia juga membolehkan YUM meluaskan usaha membantu rakyat.
“Selain itu, peminjam yang berjaya akan terus mendapat jaminan meneruskan pembiayaan di YUM dengan adanya modal pusingan yang mencukupi.
“Jika sebaliknya berlaku, bukan sahaja dana modal pusingan pinjaman akan berkurang, tetapi ianya tidak dapat digunakan untuk membiayai lebih ramai peminjam,” kata beliau yang juga ADUN Apas.