KOTA KINABALU: Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee mengkritik pihak berkuasa persekutuan susulan penghantaran bekalan CanSino berjumlah 53,000 ke negeri ini.
Beliau, yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), menyatakan kekecewaan bahawa Sabah hanya dibekalkan satu perempat daripada 200,000 dos yang dibawa masuk ke negara ini, baru-baru ini.
Sebelum ini menteri bertanggungjawab ke atas vaksin, Khairy Jamaluddin memberi jaminan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, bahawa Sabah akan diberi keutamaan mendapat satu dos vaksin dari China itu.
Yong berkata, kuantiti diserahkan kepada Sabah hanya mewakili 3% daripada 1.8 juta dos vaksin CanSino yang diminta oleh kerajaan negeri.
“Ini tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan semalam.
“Justeru, saya mengulangi permintaan supaya bekalan vaksin CanSino dari China dihantar terus ke Sabah tanpa perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bertujuan mengelak vaksin itu dipindahkan ke kawasan lain.
“Pihak berkuasa Persekutuan perlu adil kepada Sabah dan menjamin semua pusat pemberian vaksin (PPV) di Sabah beroperasi pada kapasiti maksimum,” katanya.
Pengarah Kesihatan Sabah Rose Nani Mudin, kelmarin, berkata negeri ini menerima kumpulan pertama vaksin CanSino berjumlah 53,000 dos, dengan kumpulan kedua dijadual tiba juga dalam bulan ini.
Katanya, vaksin CanSino yang memerlukan satu dos sahaja itu dijangka membantu mempercepat program imunisasi negeri, di mana lebih 1.46 juta penduduk layak divaksin menerima dos pertama dan 866,228 pula lengkap divaksin, setakat Isnin.
Dalam kenyataannya, Yong, yang juga bekas ketua menteri, turut menyifatkan satu ironi bagaimana Malaysia dipuji kerana kadar vaksinasi tinggi, namun Sabah masih jauh ketinggalan.
“Kita bangga Malaysia mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia, tetapi di Sabah, kita dipaksa berpuas hati pada kadar 31.4% (sehingga 24 Ogos) populasi negeri ini lengkap divaksin, iaitu yang terendah di Malaysia.
“Pada masa sama, masih ada PPV di Sabah terpaksa menangguhkan proses vaksinasi pada saat akhir kerana kekurangan vaksin,” katanya.
Sebagai contoh, beliau memetik laporan bahawa PPV Dewan Pa’ Musa di Beaufort hanya mampu melakukan suntikan 100 dos semalam.
Yong berkata, Sabah meletakkan harapan tinggi terhadap vaksin CanSino agar proses imunisasi dipercepat, terutama membabitkan penduduk pedalaman yang berdepan kesulitan hadir ke PPV.