Yong saran Wisma Putra beri taklimat isu Ambalat kepada semua ADUN Sabah

ambalat.jpg

KOTA KINABALU: Wisma Putra perlu memberi taklimat segera kepada Dewan Undangan Negeri Sabah mengenai isu Ambalat, kata presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee.

Bekas ketua menteri itu berkata isu itu “semakin hangat” selepas dibangkitkan oleh ADUN Tungku Assaffal Alian dari Warisan dalam sidang DUN baru-baru ini bahawa Ambalat telah diberikan kepada kerajaan Indonesia.

“Rakyat Sabah kini mahukan fakta dan kebenaran (disahkan) dan bukannya hanya menerima kenyataan rasmi daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Saya mengalu-alukan jemputan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin kepada sesiapa yang mempunyai soalan mengenai perjanjian di Laut Sulawesi antara Malaysia dan Indonesia, untuk meminta penjelasan kementeriannya,” kata Yong.

Beliau berkata selepas dakwaan Assafal, Mohamad berkata Wisma Putra sedia menjelaskan dan orang ramai tidak perlu membuat spekulasi mengenai perkara itu yang menjadi bualan hangat di media sosial.

Tambah beliau, sebagaimana Menteri Undang-undang Datuk Seri Azalina Othman Said telah memberi taklimat kepada ahli Dewan Undangan Negeri Sabah mengenai kes timbang tara tuntutan Sulu, Wisma Putra juga perlu segera memberi taklimat kepada DUN berkenaan isu Laut Sulawesi dan Ambalat.

“Saya harap Kerajaan Persekutuan faham mengapa rakyat Sabah begitu skeptikal dengan pengumuman daripada kerajaan Persekutuan kerana isu sebelum ini, iaitu kehilangan medan minyak di wilayah maritim Blok L dan M seluas dua juta ekar kepada negara jiran lain pada tahun 2010.

“Pada masa itu, media Malaysia melaporkan bahawa penyelesaian isu L dan M adalah sebagai pertukaran untuk Brunei menyelesaikan ‘Tuntutan Limbang’ (di Sarawak), tetapi penegasan ini kemudiannya dinafikan oleh negara Brunei,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata Mohamad mendedahkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Joko Widodo telah menandatangani perjanjian mengenai Laut Sulawesi (ke Selatan Tawau) pada 8 Jun ketika pemimpin Indonesia itu melawat Malaysia.

Berikutan lawatan ini, beberapa pemimpin pembangkang telah meminta Perdana Menteri memberikan butiran Perjanjian Laut Sulawesi dan menjelaskan sama ada ia melibatkan kawasan yang dikenali sebagai Blok Ambalat atau tidak, atau apa yang Malaysia sebut sebagai Blok ND6 dan Blok ND7.

Perdana Menteri kemudian memberitahu Dewan Rakyat bahawa kedua-dua perjanjian yang ditandatangani dengan Indonesia, yang menanda bahagian sempadan maritim kedua-dua negara, adalah mengikut undang-undang dan hanya ditandatangani selepas rundingan dibuat dengan agensi kerajaan.

Anwar menegaskan, perjanjian itu tidak melibatkan wilayah yang masih dipertikaikan termasuk persempadanan sempadan maritim di zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua antara kedua-dua negara.

Anwar berkata bahawa perjanjian itu tidak meliputi kawasan yang dirujuk oleh Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7, atau dirujuk oleh Indonesia sebagai Ambalat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top