KOTA KINABALU: Sabah harus mensasarkan pertumbuhan minimum Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5% pada 2021 supaya negeri itu kembali pulih dalam kemajuan ekonomi, kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, ia harus disusuli pertumbuhan KDNK 8% pada 2022.
“Walaupun Malaysia berusaha bersungguh-sungguh memerangi pandemik Covid-19, kerajaan perlu menyediakan pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 dalam skala yang besar supaya ekonomi rakyat dapat dipulihkan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Yong berkata, rakyat tidak mampu bertahan sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula, dan buktinya sudah dilihat berlaku di Malaysia dan lain-lain negara apabila kemelesetan ekonomi terjadi ia akan menyebabkan masalah kesihatan dan sosial, antaranya jenayah, trauma, gangguan mental dan cubaan bunuh diri.
Yong berkata, tahun lepas sebelum penularan Covid-19, pertumbuhan KDNK Sabah hanya 0.5% berbanding pertumbuhan KDNK peringkat nasional 5%.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan KDNK Sabah tahun ini susut sebanyak 20%, kemerosotan paling tinggid di Malaysia, katanya.
Melangkah ke depan, beliau berkata, negeri itu dijangka memperoleh keuntungan daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) apabila ia dimulakan tahun depan berikutan kedudukan geografi strategik Sabah yang terletak di wilayah pakatan perdagangan baru itu.
“Bagaimanapun Sabah perlu mempersiapkan diri dengan pantas kerana perjanjian RCEP akan ditandatangani pada hari Ahad ini (15 November).
“Sebagai permulaan, Sabah harus secara agresif menempatkan kedudukannya supaya memperoleh keuntungan daripada ekonomi yang berkembang pesat di Kalimantan di Indonesia dan kemakmuran Mindanao/Sulu di Filipina,” katanya.
Yong berkata, Sabah juga tidak boleh ketinggalan dalam trafik perkapalan maritim yang sibuk dari Australia/New Zealand yang kini menggunakan laluan Lombok-Makassar di bahagian utara serta Kalimantan dan Sabah, menghala ke Filipina dan Asia Timur (China/Jepun/ Korea) .
Sehubungan itu, Sabah perlu segera meningkatkan perkhidmatan logistik, pelabuhan dan hubungan perdagangan serta keselamatan maritim, katanya.
RCEP adalah perjanjian perdagangan terbesar di dunia yang melibatkan China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand dan 10 negara anggota Asean, iaitu Malaysia, Brunei, Filipina, Indonesia, Singapura, Laos, Vietnam, Kemboja, Thailand dan Myanmar.
Kumpulan perdagangan merangkumi 1/3 (AS$ 25 trilion) daripada KDNK global dan 30% atau 2.3 bilion penduduk dunia.