KOTA KINABALU: Datuk Seri Yong Teck Lee mencadangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menubuhkan jawatankuasa untuk menuntut semula Labuan daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurut The Star dalam laporannya semalam, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu menegaskan bahawa pengembalian Labuan kepada Sabah tidak dapat dielakkan.
Beliau mendakwa ini kerana Kerajaan Persekutuan gagal menunaikan janjinya kepada Sabah dan Labuan semasa pulau itu dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1984.
“Saya telah pun mencadangkan kepada kerajaan GRS yang memerintah untuk menubuhkan ‘jawatankuasa teknikal pemulangan Labuan ke Sabah’,” tambah Yong, yang juga timbalan pengerusi GRS.
Beliau berkata kepulangan Labuan ke Sabah akan membawa pulau itu dalam zon imigresen domestik Sabah.
Ini bermakna, katanya, pelancong antara Sabah dan Labuan, melalui laut dan udara, tidak perlu lagi berdepan dengan kerumitan kawalan imigresen.