KOTA KINABALU: Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee menggesa kerajaan mendedahkan laporan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada umum.
Katanya, ia bagi membolehkan rakyat mengikuti dan menilai sendiri pelaksanaan perjanjian itu kerana penilaian awam terhadap perkembangan MA63 akan membuatkan pemimpin dan peguam kerajaan berada di landasan betul untuk memajukannya.
“Negara ini akan dapat bergerak bersama antara satu sama lain ke arah pematuhan penuh perjanjian yang memimpin kepada pembentukan Malaysia hanya apabila rakyat, ahli politik, akademik dan penjawat awam termasuk hakim mengetahui sejauh mana ketidakpatuhan terhadap MA63.
“Menjauhkan pandangan awam berkaitan laporan MA63 seperti membiarkan parti pemerintah berpuas hati.
“Kerajaan yang kini dipimpin Perikatan Nasional (PN) tidak harus bersikap seperti kerajaan terdahulu diterajui Pakatan Harapan (PH) yang tidak mahu mendedahkan laporan MA63,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Yong berkata, kerajaan PH sebelum ini hanya memberi “jaminan retorik” kepada rakyat, konon akan berbincang dengan ketua menteri Sabah dan Sarawak.
“Amalan masa lalu untuk melindungi laporan MA63 daripada penilaian awam jelas tidak memuaskan dan tidak sampai ke mana.
“Sudah lebih 57 tahun sejak perjanjian itu ditandatangani, 2 generasi sudah berlalu tetapi pelaksanaan MA63 sepenuhnya sudah lama tertangguh,” katanya.
Beliau berkata, Sabah dan Sarawak serta Jabatan Peguam Negara persekutuan harus menggubal akta Parlimen dan enakmen negeri baharu untuk memberi kesan kepada pematuhan MA63.
“SAPP menyokong pematuhan MA63 selama sedekad, SAPP juga menyokong kes kepentingan awam terhadap kerajaan negeri, persekutuan dan Sarawak untuk memaksa kerajaan melaksanakan janji mengenai Borneonisasi dalam perkhidmatan awam di Sabah,” katanya.