Yayasan Sabah, Sarawak sepakat berkolaborasi bangun modal insan

Yayasan-Sabah-Yayasan-Sarawak.jpg

Ghulam (dua kanan) memperkatakan sesuatu kepada Mersal (dua kiri) dalam sesi perbincangan antara kedua-dua yayasan.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Yayasan Sabah dan Yayasan Sarawak sepakat untuk berkolaborasi bagi memperkasa program pembangunan modal insan di kedua-dua negeri.

Sehubungan itu, jalinan kerjasama akan diperkukuh bagi membolehkan anak-anak tempatan Sabah dan Sarawak melanjutkan pengajian di antara kedua-dua negeri.

Langkah itu sekali gus membantu ibu bapa pelajar dari segi penjimatan kos pengajian berbanding melanjutkan pengajian di tempat lain yang lebih jauh.

Perkara ini antara persepakatan dicapai sempena lawatan muhibah Yayasan Sarawak, diketuai Pengarannya, Haji Mersal Abang Rosli, ke Kumpulan Yayasan Sabah, di sini kelmarin.

Hadir menyambut kunjungan mereka termasuk Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation, Datuk Jasnih Daya serta ketua-ketua jabatan Kumpulan Yayasan Sabah.

Sempena kunjungan itu, rombongan diberi taklimat oleh Setiausaha Korporat Kumpulan Yayasan Sabah, Hanafiah Diman.

Mersal berkata kunjungan mereka bertujuan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan Kumpulan Yayasan Sabah, berkongsi kepakaran dan meneroka peluang-peluang baharu dalam pelbagai sektor.

Katanya, pembangunan modal insan adalah antara yang penting untuk diberi penekanan memandangkan ia menjadi pemangkin bagi kemajuan negeri pada masa depan.
Katanya, Sarawak mempunyai beberapa cawangan institusi pengajian tinggi swasta luar negara yang boleh dimanfaatkan.

Dalam pada itu, program pertukaran pelajar antara Sabah dan Sarawak juga akan diperhebatkan lagi bagi memupuk semangat integrasi antara kedua-dua negeri.

Terdahulu dalam ucapannya, Ghulam mengalu-alukan kunjungan muhibah itu yang diyakini memperkukuhkan jalinan hubungan kedua-dua yayasan.

Beliau berharap kunjungan itu menjadi langkah baharu ke arah kerjasama lebih erat antara dua entiti yang memiliki tanggungjawab besar untuk masyarakat.

“Kita mempunyai banyak persamaan dari segi tanggungjawab dalam memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif di negeri masing-masing, terutama dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Bagi Yayasan Sabah, kedua-dua bidang ini menjadi teras utama perjuangan sejak awal penubuhannya.

“Inilah yang terus diperkasakan oleh Kumpulan Yayasan Sabah, sebagai wahana strategik kerajaan negeri, sehingga hari ini,” katanya.

Ghulam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang turut menceritakan sejarah panjang penubuhan Yayasan Sabah.

Katanya, idea penubuhannya lahir di Mesapol, sebuah perkampungan terpencil, berdekatan sempadan Sabah-Sarawak.

Mantan Ketua Menteri, Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun, mengilhamkan buat kali pertama idea penubuhan Yayasan Sabah dalam satu majlis bersama rakyat pada 9 November 1965.

Dalam ucapannya, Tun Mustapha mencadangkan supaya ditubuhkan Yayasan Sabah untuk melengkapkan kemudahan pelajar mendapatkan pendidikan.

“Bermula dari situlah, Yayasan Sabah mulai bertapak dan terus melangkah sehingga menjadi sebagai antara entiti penting di negeri Sabah pada hari ini,” katanya.

Ghulam menjelaskan bahawa di peringkat awal penubuhannya, Yayasan Sabah memberi penekanan kepada usaha memperluaskan akses kepada alam pendidikan.

Katanya, sumbangan dihulurkan dalam bentuk pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman untuk memastikan seramai mungkin pelajar Sabah dapat meneruskan pelajaran mereka.

“Kini kita sudah mempelbagaikan aktiviti, termasuk program berbentuk kegiatan sosio-ekonomi dan komersil, tanpa mengabaikan program kemasyarakatan untuk masyarakat umum di luar bandar,” katanya.

Mengenai kunjungan itu, Ghulam berharap ia mengeratkan hubungan kedua-dua yayasan, serta memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk mencapai matlamat bersama.

Katanya, pertukaran pendapat dan pengalaman dapat menjana inovasi baharu yang dapat memberi impak positif kepada masyarakat umum keseluruhannya.

“Saya yakin bahawa kunjungan muhibah ini bakal membuka peluang baharu bagi kerjasama yang lebih berkesan di masa hadapan,” katanya. – Sabah Baru News

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top