KOTA KINABALU: Yayasan Sabah telah dipilih untuk menjadi rakan kongsi tempatan bagi melaksanakan Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA).
Pelantikan itu dipersetujui oleh kabinet Sabah pada hari Rabu dan Yayasan Sabah dijangka bekerjasama rapat dengan Hoch Standard Pte Ltd untuk melaksanakan NCA.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, Hoch Standard akan membantu Yayasan Sabah dalam peranan baharu ini dengan menyediakan teknologi dan pengetahuan yang diperlukan untuk memastikan pelaksanaan NCA akan dilakukan dengan sewajarnya.
“Yayasan Sabah akan menandatangani perjanjian perkhidmatan berasingan dengan Hoch Standard.
“Di bawah perjanjian perkhidmatan itu, Hoch Standard dijangka membayar Yayasan Sabah lima peratus daripada hasil kasarnya daripada NCA untuk aktiviti Yayasan Sabah yang berkaitan dengan NCA,” katanya.