KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (YS) telah berjaya melaksanakan 95% daripada 17 inisiatif di bawah halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) setakat ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji, yang merupakan pengerusi lembaga pemegang amanah YS, berkata 17 inisiatif yang dijalankan tahun lepas melibatkan dua inisiatif teras SMJ iaitu modal insan dan kelestarian hijau.
“Pencapaian ini adalah sesuatu yang membanggakan dan saya mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan Kumpulan YS atas penglibatan mereka.
“Sebagai jentera strategik kerajaan negeri, Kumpulan YS akan terus memacu pelbagai program selaras dengan rancangan pembangunan SMJ dan kita belum sampai ke penghujungnya.
“Pembangunan modal insan mesti dipertingkatkan terutamanya dalam aspek pendidikan dan saya mahu Kumpulan YS memberi tumpuan kepada pendidikan dari peringkat awal kanak-kanak sehingga pengajian tinggi,” katanya ketika merasmikan Malam Anugerah Kumpulan Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini malam tadi.
Hajiji juga gembira kerana Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) telah merekodkan 98% kadar kebolehpasaran graduan, manakala Universiti Kolej Sabah Foundation (UCSF) mencatatkan 75% pada 2022.
Ketua Menteri turut meminta pihak pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah untuk terus berusaha agar aktiviti perniagaan anak-anak syarikat akan terus menghasilkan keuntungan sekali gus dapat menggandakan pembayaran dividen kepada Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB).
“Hampir semua sektor yang disertai Kumpulan menyaksikan pulangan yang lebih baik tahun lepas, di mana keuntungan sebelum cukai dianggarkan melebihi RM412 juta.
“Jadi tahniah kepada anak syarikat perladangan kelapa sawit dan penjanaan elektrik yang menjadi penyumbang utama kepada prestasi ini.
“Pemulihan keuntungan oleh anak syarikat dalam sektor pelancongan dan pembalakan turut memberi kesan kepada prestasi yang baik ini.
“Saya dimaklumkan berdasarkan pemantauan berterusan terhadap anak-anak syarikat pada tahun 2022 telah menghasilkan rekod pembayaran dividen kepada ICSB berjumlah RM253.18 juta,” katanya.
Beliau mahu pihak pengurusan terus memberi perhatian dalam perancangan masa hadapan mereka, antaranya memastikan Kumpulan Yayasan Sabah ditadbir secara efisien dari segi kos; mentranformasikan anak-anak syarikat yang rugi melalui usaha sama dimana wang pelaburan akan disuntik oleh rakan kerjasama dan mengewangkan (monetise) aset-aset Kumpulan Yayasan Sabah yang tidak diusahakan seperti tanah dan perhutanan.
Beliau juga mencadangkan menambah nilai dan meningkatkan pulangan anak syarikat melalui penyenaraian awam dan kerjasama dengan organisasi tempatan dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
“Tumpuan masa depan juga harus diberikan kepada pelaksanaan projek Pavilion Harbour City, Jesselton Waterfront Sdn Bhd dan Lok Kawi Resort City, memastikan hasil tunai daripada projek pembangunan bersama diterima secepat mungkin, dan menjalankan projek pembangunan hidroelektrik baharu di lokasi yang dikenal pasti,” tambah beliau.