PITAS: Kira-kira 200 keluarga di lima kampung di sini kini mendapat manfaat pembekalan air yang konsisten dan bersih susulan pemasangan sistem bekalan air oleh Yayasan Petronas di bawah Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR), yang disasar meningkatkan kesejahteraan komuniti B40.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Shariah Nelly Francis berkata lima kampung berkenaan terdiri daripada Kampung Boribi Kanibongan, Kampung Gunsali, Kampung Mapad Kanibongan, Kampung Ranggal dan Kampung Mangkapon Darat, terletak kira-kira empat jam pemanduan dari Kota Kinabalu.
Beliau berkata pembekalan air bersih itu mengguna pakai sistem graviti, di samping pam air janaan tenaga solar, dan juga menggunakan kawasan tadahan air, paip, rumah pam, tangki penyimpanan utama dan tempat pengumpulan air.
“Kita berharap komuniti tempatan akan dapat menikmati pembekalan air bersih secara konsisten, yang kini boleh diakses mereka walaupun semasa musim kemarau,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Shariah Nelly berkata pelaksanaan projek yang mengambil masa 18 bulan itu melibatkan sistem pembekalan air bersih yang mudah untuk diakses, mudah dioperasikan, dan selamat.
Projek yang disokong oleh Petronas Sabah dan Labuan itu turut melibatkan pejabat daerah Pitas, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK), ketua kampung dan kontraktor dari kampung penerima serta KLCC Projeks Sdn Bhd sebagai penasihat teknikal, dan Tonibung sebagai rakan pelaksana.
“Kami harap penduduk kampung akan bekerjasama untuk mengekalkan sistem ini supaya ia boleh kekal berfungsi dalam jangka panjang,” kata Shariah Nelly.
Majlis penyerahan baru-baru ini telah diadakan di Kampung Mangkapon Darat, yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim.
Majlis itu turut disertai dengan aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dengan demonstrasi pelajar kampung yang diketuai oleh empat guru Program Duta Guru (PDG) belajar memasang kereta lumba mini menggunakan bahan mudah seperti belon, botol air, dan penutup botol.
PDG merupakan program anjuran Yayasan Petronas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan menerusi Pusat STEM Negara, di bawah bidang fokus pendidikannya.
PDG menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran 4,500 guru di seluruh negara dalam aspek kemahiran berfikiran aras tinggi (KBAT) untuk dijadikan teladan dalam penyampaian mata pelajaran STEM kepada pelajar.
Kedua-dua program adalah selaras dengan Agenda Kemampanan Petronas dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). – BERNAMA