KOTA KINABALU: Yayasan PETRONAS menyemarakkan semangat perayaan melalui sumbangan barangan makanan keperluan dan perayaan kepada komuniti kurang bernasib baik di seluruh Sabah.
Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab berkata sumbangan itu sempena musim Krismas, sebagai sebahagian daripada inisiatif Uplifting Lives.
Katanya, pek perayaan yang mengandungi barang makanan keperluan dan perayaan telah diagihkan kepada 600 keluarga yang dikenalpasti.
“Ia dilaksanakan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah, di lima daerah iaitu Tamparuli, Kuala Penyu, Papar, Penampang, dan Kota Kinabalu bagi memenuhi keperluan semasa sambutan perayaan.
“Majlis penyerahan sumbangan di Tamparuli, baru-baru ini dihadiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.
“Di Papar pula, penerima sumbangan telah menerima pek perayaan mereka daripada Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali,” katanya.
Siti Ayu berkata, menyemarakkan semangat perayaan melalui tindakan kebaikan memberikan kesan positif yang mendalam dalam menyatukan masyarakat dan memupuk rasa perpaduan.
“Melalui inisiatif Uplifting Lives, kami berhasrat untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti dengan memberi kembali kepada mereka yang memerlukan.
“Selain itu, menyebarkan kegembiraan kepada mereka yang meraikan, sekali gus mewujudkan rasa kekitaan dan kebersamaan untuk semua,” katanya.
Terdahulu, Yayasan PETRONAS telah mengagihkan barangan makanan perayaan kepada 11,850 keluarga di seluruh negara tahun ini sempena sambutan perayaan utama, termasuk inisiatif Krismas ini.
Program Uplifting Lives adalah sebahagian daripada fokus Yayasan PETRONAS terhadap kesejahteraan komuniti dan pembangunan masyarakat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis; ADUN Kawang merangkap Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuantim, dan Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali. – Utusan Borneo