Yang Penting Pelan Pemulihan Bukan Pelan Jadi PM – Zaid

IMG_20210214_111728.png
Kongsi Bersama

Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim menggesa pemimpin negara yang kompeten supaya berganding bahu menyelesaikan krisis yang dihadapi sekarang, sekali gus menyelamatkan ekonomi negara.

Zaid, bekas menteri undang-undang berkata, pemimpin politik seharusnya sedar situasi “tenat” yang dihadapi negara ketika pandemik Covid 19 semakin mengganas dengan kesan buruk ke atas kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

“Lebih sejuta orang kini menganggur. Kesusahan dan kemiskinan berada di sekeliling kita.”

Beliau berkata, pemimpin yang berwibawa sangat diperlukan buat masa ini bagi mengorak hala tuju yang jelas dan kembali memulih dan membangunkan ekonomi.

“Pemimpin seharusnya bersama-sama. Maksud saya, bukanlah kesepakatan Melayu, iaitu parti Melayu bergabung dengan parti Melayu atau parti Islam lain bagi membentuk kerajaan,” kata beliau.

“Kita perlukan pemimpin yang tidak hanya bercakap mengenai siapakah yang lebih sesuai menjadi perdana menteri, tetapi pemimpin yang mempunyai rancangan bagi membetulkan kembali kesalahan yang dilakukan. Masalah yang kini ditanggung oleh negara.”

Zaid mencadangkan supaya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan semula sebagai cara terbaik untuk mengutip hasil kerajaan.

“Kerajaan perlu salurkan peruntukan yang lebih kepada rakyat. Biarpun ini bermakna kementerian dan jabatan dikurangkan. Ketika ini ia hanya membazirkan wang.

“Biar rakyat yang tentukan sendiri cara terbaik menggunakan peruntukan yang ada bagi membantu mereka,” kata Zaid.

Beliau berkata, kerajaan juga hendaklah memberi tumpuan kepada program latihan kemahiran bagi membantu meningkatkan hasil pendapatan rakyat.

Zaid berkata, ahli politik seharusnya menjaga pertuturan dan tidak melabel parti lain dengan nama atau panggilan yang berkaitan dengan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin parti terbabit.

“Sering kali kita dengar Umno dilabel sebagai parti kleptokrat. Ini tidak adil sama sekali dan bersifat provokatif.

“Tidak perlu juga sebahagian pemimpin Umno berkata, mereka tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim,” kata Zaid.

Beliau berkata, satu-satunya cara untuk bergerak ke hadapan adalah dengan mengamalkan sifat terbuka terhadap mana-mana parti atau individu seandainya ia baik untuk rakyat dan kepentingan negara. – FMT

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top