KOTA KINABALU: Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Haji Yakub Khan telah merasmikan Studio Maya, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKN) di sini, pada Jumaat.
Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, penularan pandemik Covid-19, sejak penghujung tahun 2019, telah merubah corak dan pola kehidupan manusia sejagat, termasuklah perubahan norma perkhidmatan, terutamanya dengan pengenalan pelbagai SOP atau Prosedur Operasi Standard, yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Ini telah mencetus satu era baharu dan mengubah sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam,” kata Yakub dalam kenyataan medianya.
Justeru, JPKN memainkan peranan yang penting bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran perkhidmatan awam dalam norma baharu ini.
Seiring dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk mewujudkan kerajaan digital, JPKN telah menjadi jentera penggerak kepada aspirasi ini dengan memberikan perkhidmatan pembekalan komputer kepada pegawai– pegawai yang bekerja dari rumah, membangunkan sistem bayaran bantuan covid dan sistem–sistem lain bagi melancarkan dan memudahkan urusan perkhidmatan awam, memberikan bantuan teknikal bagi webinar, lintas langsung dan lain–lain perkhidmatan ICT.
Berlandaskan kepada adaptasi pelaksanaan norma baharu, pengwujudan studio maya JPKN yang telah tersedia ini adalah tepat pada masanya.
Beliau menjelaskan, dengan adanya studio maya ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos penyewaan tempat dan perkhidmatan penggambaran, ia juga adalah peneraju utama dalam melaksanakan rakaman video korporat, webinar dan lintas langsung secara maya menggunakan teknologi layar hijau yang berkualiti kepada Agensi Kerajaan Negeri Sabah.
“Syabas kepada semua kakitangan yang telah menjalankan tanggungjawab dan memenuhi amanah yang diberikan, walaupun berhadapan dengan persekitaran yang penuh dengan dugaan dan cabaran pada masa kini,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap bersama Timbalan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Zainudin Aman dan Henry Idol; Setiausaha Politik Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Senator Noraini Idris, Pengarah JPKN, Ernywati Dewi Abas; serta Pegawai-Pegawai Kanan dan kakitangan JPKN.
Foto: FB JPKN