YADIM Sabah Sampaikan Sumbangan Vitamin C Kepada Petugas Barisan Hadapan

yadim-sabah.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Barisan hadapan terdiri dari kalangan doktor,  kakitangan hospital, polis,tentera dan lain-lain merupakan golongan yang berhadapan dengan cabaran ketika penularan  pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menyedari hakikat ini, Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM)  cawangan Sabah tidak henti-henti tampil ke hadapan menyantuni golongan ini dengan pelbagai bentuk sumbangan bertujuan untuk memberikan suntikan semangat sekali gus menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Pengarah YADIM cawangan  Sabah Samin Ongki berkata, YADIM cawangan negeri ini akan terus melaksanakan program tanggungjawab sosialnya melalui program bantuan bakul makanan, termasuk kepada petugas-petugas barisan hadapan.

“Kita faham petugas barisan hadapan merupakan kumpulan yang begitu penting ketika ini kerana mereka bukan sahaja terbeban dengan tugas namun berhadapan dengan  risiko yang tinggi ketika menjalankan tugas,”katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan berupa vitamin C yang bernilai RM10,000 kepada petugas  barisan hadapan  di sini kemarin.

Antara barisan hadapan yang menerima sumbangan tersebut ialah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Tentera Darat,  Jabatan Kesihatan, dan Jabatan Relawan Malaysia (RELA).

Sumbangan tersebut masing-masing diterima  oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli  Mazlan (PDRM), Panglima  Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Dato Mohd Halim Khalid (Tentera), Timbalan Pengarah (Perubatan)  Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Abd Kahar Abd Asis (JKNS) dan  Pengarah Rela Negeri Sabah Mohamad Pauzi Jhomat (RELA).

Menurut Samin YADIM memilih untuk memberikan sumbangan vitamin C kerana dalam situasi sekarang anggota yang bertugas memerlukan vitamin C yang berperanan sebagai antioksida menghalang radikal  bebas daripada merosakkan sel badan dan berfungsi  meningkatkan daya tahan badan daripada  penyakit berjangkit.

Dalam pada itu Samin berkata YADIM Sabah amat menghargai sokongan daripada sektor korporat dan orang perseorangan yang tampil menyalurkan bantuan yang diserahkan kepada YADIM untuk diselaraskan dan disampikan kepada golongan sasar.

“Banyak sumbangan yang kami terima dan YADIM Sabah hanya menyelaras dan menyampaikan sumbangan tersebut kepada golongan sasar selari dengan tanggungjawab sosial YADIM kepada masyarakat,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top