KOTA KINABALU: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah melancarkan kempen Prihatin Pitas 2021 untuk membantu penduduk di Pitas yang terjejas akibat banjir minggu lalu.
Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki, berkata kempen yang bermula semalam hingga Rabu ini bertujuan mengumpul barang keperluan seperti beras, gula dan makanan dalam tin untuk diserahkan kepada mangsa banjir di daerah itu.
Katanya, YADIM membuka empat lokasi penyerahan sumbangan daripada orang ramai yang ingin menderma di sekitar bandar raya ini, Putatan dan Papar.
“YADIM mengambil inisiatif untuk membantu dengan melancarkan kempen ini kerana daerah Pitas adalah antara yang terjejas teruk akibat banjir besar pada minggu lalu.
“Orang ramai dialu-alukan untuk menghulur bantuan melalui kempen Prihatin Pitas 2021 ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, pusat penyerahan sumbangan disediakan di Masjid Al Kauthar Tanjung Aru dan Azam Cafe Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini; Restoran Gulai Petagas di pekan Petagas, Putatan dan Restoran Al Hamra Pekan Baru Kinarut di Papar.
Samin berkata, YADIM Sabah menyasarkan untuk mengumpul 1,000 kampit beras lima kilogram (kg); 1,000 kg gula dan 1,000 tin sardin untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Pitas.
“Sumbangan yang sudah dikumpul akan dihantar ke Pitas pada Khamis ini untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah itu,” katanya.
Berdasarkan laporan sebelum ini, ribuan penduduk di Pitas terjejas akibat banjir dan ramai di antara mereka tidak dapat keluar ke pekan membeli barangan keperluan disebabkan laluan perhubungan yang terputus berikutan jalan dan jambatan runtuh.-bharian