Wujudkan Semula Kementerian Kesihatan Di Sabah

sim-fui.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu mempertimbangkan semula untuk mewujudkan Kementerian Kesihatan di Sabah.

Ketua Pemuda Pergerakan Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Sim Fui berkata, kewujudan kementerian terbabit mampu membantu Sabah mengurus bekalan vaksin dengan lebih baik.

“Adalah lebih baik wujudnya satu badan khususnya seperti Kementerian Kesihatan bagi mengurus perkara ini.

“Dengan itu, lebih senang untuk masyarakat atau mana-mana pihak untuk membuat rujukan berkaitan dengan kementerian terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Sabah hanya menunggu jawapan dari Kerajaan Pusat sedangkan Sabah kini tidak mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk rakyat negeri ini.

“Ramai dalam kalangan warga emas masih menunggu untuk mendapatkan temu janji vaksinasi,” katanya

Beliau berkata, sangat menyedihkan apabila melihat autonomi ada di Sabah tidak diamalkan sewajarnya khususnya dalam perihal kesihatan rakyat.

Katanya, Kementerian Kesihatan di Sabah wajar diwujudkan semula agar negeri ini memiliki sebuah agensi kerajaan yang betul-betul dedikasi dan beroperasi secara bebas ketika menangani apa juga perkara berkaitan kesihatan.

“Kementerian berkenaan tidak perlu menunggu lampu hijau dari kerajaan Pusat kerana hanya Sabah tahu dan memahami urusan kesihatan di Sabah dengan lebih jelas.

“Ianya penting agar Sabah mempunyai autonomi sebenar di masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan negeri juga dicadangkan mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang membenarkan ‘walk-in’.

“Cadangan pewujudan PPV khas ini perlu kerana setelah tibanya bekalan vaksin, temu janji untuk walk in mendapat vaksin dapat dilakukan, sekali gus mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan penghantaran bekalan vaksin ke Sabah dalam usaha mempercepatkan vaksinasi rakyat memandangkan negeri ini juga mencatatkan kes positif COVID-19 yang aktif tertinggi di Malaysia.

Katanya, cadangan itu akan mempercepatkan proses vaksinasi di Sabah seterusnya mencapai imuniti berkelompok yang diinginkan.

Berkaitan dengan isu suntikan vaksin kosong, Sim Fui kecewa dengan kenyataan menteri berkaitan baru-baru ini yang seolah-olah wujudkan situasi pemberian vaksin secara selektif dalam kalangan rakyat.

Sim Fui berkata, menteri terbabit sepatutnya membuat kenyataan yang menyakinkan rakyat untuk mendapatkan vaksin bukan sebaliknya.

Katanya, kenyataan yang menggesa mereka yang menerima suntikan picagari kosong untuk mendapatkan semula vaksin menunjukkan seolah-olah perkara itu membimbangkan.

“Kerajaan juga perlu menggalakkan orang yang sudah selesai menerima dua dos vaksin boleh merentas daerah, ini akan mempercepatkan lagi proses vaksinasi.

“Oleh itu, Kabinet negeri perlu tegas terhadap permintaan vaksin dari kerajaan Pusat, perlu terima hakikat bahawa perlunya Kementerian Kesihatan di Sabah.

“Kedudukan Sabah di Malaysia perlu dikuatkan berbanding hanya dengan kenyataan merayu-rayu setiap hari di surat khabar,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top