Wujudkan Perjanjian Malaysia Baharu: Rakyat Sabah Patut Sokong Gesaan Jeffrey

kenny-chua.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penyelaras Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Parlimen Sepanggar, Kenny Chua (gambar) berkata rakyat Sabah kini berpeluang mencatat satu lagi sejarah baharu selepas presiden parti itu, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menggesa pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang baharu.

Katanya, semua rakyat Sabah tanpa mengira fahaman politik harus bersatu di belakang timbalan ketua menteri itu kerana usaha berkenaan bakal memanfaatkan seluruh rakyat negeri berkenaan.

“Beliau (Jeffrey) telah menyuarakan apa yang berada di dalam hati kita selama berdekad dan biarlah gesaannya supaya dilaksanakan perjanjian baharu turut menjadi milik kita.

“Kita mungkin telah berpecah belah kerana politik tetapi kita semua senada dengan isu ini.

“Marilah kita bangkit untuk bersama-sama menyuarakannya dan mengambil tindakan yang terinspirasi daripada gesaaan beliau kerana ini adalah peluang kita untuk mencatat satu sejarah baharu dalam hidup kita,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Jeffrey berkata sudah tiba waktunya Sabah terus maju melangkaui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana sudah tidak sesuai lagi dengan aspirasi rakyat Sabah.

Beliau berkata, Sabah tidak akan maju sekiranya terus bergantung kepada kerajaan persekutuan terutama berkaitan dana pembangunan dan keselamatan.

Selain perjanjian Malaysia baharu, Jeffrey turut mencadangkan Kesatuan Malaysia diwujudkan agar Sabah, Sarawak serta Semenanjung sebagai rakan kongsi bebas dapat mereformasikan negara ini agar memenuhi aspirasi rakyat yang sebenarnya.

Sementara itu, Kenny turut bersetuju dengan Jeffrey bahawa semua pemimpin di negara ini harus menghentikan segala perbincangan serta perbalahan yang tiada kesudahan mengenai MA63.

Sebaliknya, katanya, satu naratif baharu perlu dilaksanakan agar semua orang berada di landasan yang betul.

“Mari mulakan semuanya di dalam ‘kanvas’ yang kosong,” katanya.

Dalam pada itu, pengerusi gerakan belia tempatan yang dipanggil Gerakmaju, Willde Edwin berkata, anak muda di Sabah harus terlibat sama dalam rancangan untuk mewujudkan perjanjian baharu Malaysia itu.

“Saya tidak tahu apakah suara orang muda terhadap MA63 pada masa itu tetapi zaman telah berubah dan belia hari ini lebih arif mengenai isu politik.

“Sekiranya pemimpin negara bersetuju dengan gesaan Jeffrey itu, kami juga ingin terlibat dan dibenarkan mengambil bahagian dalam penyusunan dokumen perjanjian Malaysia yang baharu,” katanya.

Willde berkata, ketika zaman persekolahannya, mereka tidak pernah tahu dengan kewujudan MA63 kerana tiada dalam buku teks sejarah ketika itu.

“Kerana pemimpin seperti Jeffrey, kami mula mengambil perhatian terhadap isu-isu seperti MA63,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top