Wujudkan Laluan Khas Berbasikal Di Tawau, Kalabakan

rina-jainal.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal mencadangkan agar laluan khas berbasikal diwujudkan di sekitar daerah Tawau dan Kalabakan.

Menurut Rina, cadangan membina laluan khas tersebut sesuai diwujudkan di lokasi khas tumpuan orang awam yang melakukan riadah bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Selain itu, katanya, dengan adanya laluan khas tersebut, ia bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan penunggang basikal, sebaliknya turut membabitkan pengguna jalan raya yang lain.

“Kami akan mengumpul tandatangan orang ramai untuk menyokong pembinaan laluan itu khususnya di mukim Kukusan.

“Semua tandatangan yang berjaya dikumpul akan diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menganjurkan program ‘Folding Bike Fun Ride My Kukusan Sejahtera’ di sini pagi semalam.

Terdahulu, lebih 120 orang peserta menyertai program kayuhan ini terdiri daripada ahli Tawau Foldies Society, orang ramai dan kakitangan kerajaan.

Rina berkata, program itu juga adalah usaha ke arah cara hidup endemik COVID-19 di Malaysia dan Fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sabah.

“Kayuhan sejauh 18 kilometer itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat selamat selain membina semula emosi orang ramai yang selama ini terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kita juga mahu mewujudkan satu aktiviti riadah kepada warga Kukusan dan kawasan sekitar supaya boleh dijadikan program rutin terutamanya dihujung minggu,” katanya.

Sementara itu, pihaknya turut mengadakan kempen keselamatan kepada penunggang basikal yang kini semakin ramai di Tawau untuk sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berbasikal.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top