KOTA KINABALU: Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah pada Khamis lalu mengumumkan penubuhan Wirawati sebagai sayap baharu pergerakan itu dengan melantik Elshera Yapat dari Kiulu sebagai ketuanya yang pertama.
Ketua Wiranita STAR Sabah, Flovia Ng yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah membuat pengumuman itu pada mesyuarat pertama Exco Wiranita di Sokid Villa.
“Wirawati ditubuhkan untuk memperluaskan lagi ruang dalam kalangan wanita muda untuk berbakti melalui Parti STAR,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid.
Flovia yang memenangi jawatan Ketua Wiranita STAR dalam pertandingan tiga penjuru pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan 20 Oktober lalu menyatakan Wirawati dapat menjadi pelapis penting kepimpinan sayap itu.
Jelasnya, penubuhan Wirawati merupakan antara pendekatan yang diambil untuk membawa perubahan ke atas lanskap penglibatan wanita dalam perjuangan parti, kerajaan dan badan bukan kerajaan.
Menurut Flovia, Wirawati bakal dianggotai kalangan wanita berumur 25 sehingga 35 tahun untuk memberi golongan itu ruang menyumbang tenaga dan kepakaran dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.
Flovia berharap pelantikan Elshera yang juga Ketua Penerangan Exco Wiranita STAR dapat menggerak penyertaan dan pelaksanaan pelbagai program sejajar dengan pembangunan wanita.