Wiramuda, Wiranita Star Harus Lantang Suarakan Perjuangan

elron.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Sayap Wiramuda dan Wiranita Parti Solidairiti Tanah Airku (Star) harus berani serta lantang menyuarakan pandangan mereka selaras dengan perjuangan parti.

Timbalan Presidennya, Datuk Ellron Angin berkata, Wiramuda dan Wiranita memainkan peranan yang signifikan dalam memperkukuhkan kedudukan parti serta memperjuangan hak dan suara orang Sabah dan inilah persediaan terpenting dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

“Ini adalah masanya bagi Wiramuda dan Wiranita untuk sama-sama bangkit berani dalam menegakkan perjuangan parti agar hala tuju parti kita terus didengari oleh rakyat,” kata Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan itu.

Tambah beliau, ahli-ahli kedua-dua sayap parti ini haruslah belajar untuk menimba ilmu kepimpinan serta asas perjuangan parti kerana mereka inilah merupakan pelapis kepada kepimpinan yang sedia ada.

Menyentuh mengenai Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, beliau berkata, ini merupakan satu kejayaan besar bagi warga Sabah dan Sarawak dalam memastikan hak-hak yang terhakis selama ini dikembalikan kepada mereka.

“Pindaan Perlembagaan inilah yang kita nanti-nantikan setelah sekian lama hak dan suara kita ditindas dan tidak didengari. Oleh itu saya berharap agar kita semua dapat bergabung tenaga bersama-sama dengan Presiden kita Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan untuk terus memperjuangkan hak-hak kita sebagai rakyat Sabah,” katanya.

Terdahulu, Wakil Rakyat Sook itu hadir dalam merasmikan Mini Konvensyen Parlimen Tuaran yang bertempat di Dewan Linangkit, Cultural Village Kampung Selupoh di sini.

Mini Konvensyen itu disertai sayap Wiramuda dan Wiranita daripada empat bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Tuaran iaitu DUN Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu. Seramai 8 pembahas masing-masing wakil daripada Wiramuda dan Wiranita di 4 DUN tersebut.

Turut hadir dalam konvensyen tersebut Setiausaha Agung Star, Edward Linggu, Naib Presiden Star merangkap Pengarah Strategi Star, Dr. Paul Prodong, Ketua Wiramuda Star, Kong Soon Choi serta Ketua-ketua Wiramuda dan Wiranita Bahagian Tuaran.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top