Wartakan Setinggan Di Tanjung Batu Sebagai Perkampungan Rasmi, Tersusun

andy.jpg
Kongsi Bersama

KALABAKAN: Masalah perkampungan setinggan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu akan cuba diatasi dengan mewartakan beberapa kampung di kawasan itu menjadi perkampungan rasmi yang lebih tersusun.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy (gambar) juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu berkata isu penempatan setinggan itu sudah berlanjutan begitu lama sehingga menyukarkan pelaksanaan pembangunan yang lebih baik di kawasan itu.

“Perancangan Pejabat DUN Tanjung Batu adalah supaya lebih banyak kawasan perkampungan yang sebelum ini dikategorikan setinggan dapat diwartakan menjadi perkampungan rasmi.

Setakat ini permohonan pewartaan untuk Kampung Muara dan Kampung Otentik sudah dilakukan dan menyusul kita lakukan perkara sama untuk kawasan lain tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 40 penerima di sini, pada Khamis.

Andi Muhammad Suryady berkata kerajaan negeri sentiasa prihatin berhubung pewartaan kampung dalam memastikan rakyat terbela dan memiliki kediaman yang  selesa.

Mengenai bantuan kerajaan negeri beliau berkata sebanyak 2,664 bakul makanan akan diagihkan kepada golongan terjejas COVID-19 di Parlimen Kalabakan

“Bantuan ini merupakan bantuan tambahan bakul makanan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua ini kerana sebelum ini kita sudah agihkan bakul makanan untuk  e-Kasih,” katanya.

Menurutnya bantuan berkenaan akan diagihkan secara berperingkat dan kerajaan akan memastikan pihak terjejas menerima manfaat itu.

Sementara itu seorang penerima bantuan Zainab Salleh, 68, berkata pemberian bantuan itu merupakan satu rahmat dan rezeki yang tidak disangka kerana dalam kesusahan ada yang prihatin.

“Susah mahu cari makan sekarang, berjual pun di rumah tidak maju, bila dengar dapat bantuan ini, senang betul hati saya,” katanya yang tinggal bersama suami dan tiga anak di Tanjung Batu di sini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top