WARISAN Yakin Terajui Kepimpinan Negara, Jika Menang Besar

shafie-1.jpg

gambar fail

Kongsi Bersama

TAWAU: Parti Warisan (WARISAN) yakin boleh menerajui kepimpinan negara sekiranya memenangi banyak kerusi di Sabah, Labuan dan Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, WARISAN bertanding disemua kerusi Parlimen di Sabah dan Labuan, manakala 26 kerusi lagi di Semenanjung.

“Kita serahkan kepada rakyat di Sabah kerana kalau mahukan suara mereka kedengaran di Parlimen, maka WARISAN perlu menang banyak kerusi PRU15 ini.

“Bagaimanapun, saya yakin boleh memenangi banyak kerusi Parlimen di Sabah kerana sambutan rakyat dalam kempen WARISAN sangat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis ramah mesra dan kempen WARISAN yang dihadiri lebih 5,000 orang, di sini kelmatin.

Menurutnya, WARISAN tidak mahu hanya dijanjikan pelbagai jawatan kerana rakyat Sabah mahukan perlembagaan dapat di tunaikan supaya pembangunan negeri seiring dengan semenanjung.

Ditanya mengenai jawatan Perdana Menteri daripada Sabah, katanya, itu bukannya perkara yang mustahil sekiranya WARISAN banyak memenangi kerusi Parlimen pada 19 November ini.

“Tun Mahathir hanya mempunyai13 kerusi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mempunyai tujuh kerusi sahaja semasa menjadi Perdana Menteri.

“Justeru, sekiranya kita menang semua kerusi di Sabah, Labuan dan semenanjung, sudah pasti kita dapat membentuk kerajaan,”katanya.

Mengenai kerjasama WARISAN dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membentuk blok Borneo pula, katanya, Sarawak juga dilihat berminat untuk mewujudkan pembentuk itu.

“Kita melihat Sarawak juga mahukan hak mereka sama ada dari segi sistem politik ataupun pengurusan sumber yang ada di negeri itu.

“Saya berharap rakyat pengundi dapat memberikan sokongan dan undi kepada WARISAN demi kemajuan negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Shafie berkata, kerajaan WARISAN sudah terbukti banyak membantu rakyat terutamanya penduduk yang tinggal di pendalaman dan membangunkan ekonomi negeri.

“Kita sudah berikan lebih 10,000 geran tanah kepada penduduk Sabah khususnya di pendalaman Keningau, Tambunan dan Beaufort supaya mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Turut hadir, ADUN Merotai, Sarifuddin Hatta; ADUN Sri Tanjung, Justin Wong; calon Parlimen Tawau, Chen Ket Chuin; calon Parlimen Kalabakan, Ma’Mun Sulaiman; Ketua Bahagian WARISAN Tawau, Mohammad Ayid; Timbalan Ketua Bahagian WARISAN Tawau, Shafie Banjar, Naibnya Datuk Amrullah Kamal dan mantan Timbalan Presiden MPT, Koh Kian Leong. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top