TAWAU: Parti Warisan (WARISAN) yakin dapat menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik dan Kukusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Bahagian WARISAN Kalabakan, Sarifuddin Hata berkata, dengan sokongan rakyat di Parlimen Kalabakan dan kekuatan jentera parti, sudah pasti kedua-dua kerusi itu boleh ditawan.
Katanya, kerusi DUN Sebatik dan Kukusan yang dimenangi WARISAN pada PRN lalu juga sudah masuk dalam senarai parti untuk ditawan semula.
“Kita mempunyai jentera yang kuat di kedua-dua DUN itu, malah sokongan pengundi terhadap WARISAN di kawasan berkenaan masih ramai.
“Bukan sahaja DUN Sebatik dan Kukusan, malah semua kerusi di Parlimen Kalabakan boleh kita ditawan pada PRN depan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai berkata demikian ketika ditemui media, di sini kelmarin.
Menurutnya, WARISAN Kalabakan tidak lemah walaupun dua wakil rakyatnya beralih arah menyokong parti kerajaan yang ada.
Ditanya mengenai calon DUN Sebatik dan Kukusan pula, Sarifuddin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu yang sesuai untuk dicalonkan.
“Paling penting, calon berkenaan perlu mempunyai beberapa kriteria termasuklah berjiwa kental, setia dan berintegriti supaya jika ditawarkan jawatan dan wang ringgit mereka tidak terpengaruh,” katanya.
Dalam pada itu, Sarifuddin berkata, WARISAN Kalabakan sentiasa bersiap siaga pada bila-bila masa untuk menghadapi PRN akan datang.
“WARISAN Kalabakan tidak mempunyai masalah walaupun pembubaran DUN diawalkan pada tahun hadapan kerana jentera kita sentiasa bersedia.
“Kami juga tidak mempunyai masalah sekiranya ada parti politik yang ikhlas mahu bekerjasama bagi menghadapi PRN depan,” katanya. – Utusan Borneo