Warisan Yakin Mampu Pertahan Batu Sapi

shafie-iftar.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Parti Warisan (Warisan) yakin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi yang kini masih lagi kosong.

Setelah penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober 2020, kerusi Parlimen itu kekal kosong sehingga kini.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, jika jentera parti bekerja kuat, kerusi Parlimen Batu Sapi itu akan kekal milik Warisan.

“Kita kena berusaha untuk memastikan kita dapat kejayaan. Kalau dulu kita boleh menang, takkan sekarang tidak boleh, apa yang penting ada kesatuan.

“Dulu kita mampu kalahkan Barisan Nasional (BN) semasa mereka bersatu dengan MCA, PBS, Gerakan semua ada berkumpul termasuk UPKO. Tapi hari ini, mereka berpecah dan ada yang keluar.

“Macam-mana yang berlaku kerana tiada keyakinan. Namun, jika bergantung keyakinan semata-mata tapi tidak kerja keras, tidak akan bawa kejayan juga. Apa yang penting kena kerja keras,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Falah Kampung Karamunting, kelmarin.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan parti bagi berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jika dilihat parti yang banyak menerima tekanan ialah Warisan kerana orang kita dibeli, ditekan dengan bayaran cukai dan dimasukkan ke penjara tapi, pemimpin Warisan masih lagi bertahan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa parti ini mempunyai nilai dan disiplin yang tinggi. Saya tekankan kena ada disiplin dalam politik, kita selaku pemimpin harus pastikan parti ini ada disiplin dan jangan hanya kita kejar projek,” katanya.

Mengenai kesatuan pembangkang, Mohd Shafie berkata, Warisan kekal dengan pendirian bahawa gabungan pembangkang bukan lagi pendekatan terbaik untuk meraih kemenangan pada PRU15.

Beliau berkata, pada dua pilihan raya negeri (PRN) yang lalu iaitu di Melaka dan Sarawak membuktikan biarpun pembangkang bersatu namun, tetap juga kalah.

“Kita sokong Pakatan Harapan (PH) di Melaka, kalah juga dan PKR tidak mendapat kerusi. Semasa di Sarawak, PKR juga dapat kosong (kerusi) jadi, kita kena lihat dan mendengar suara rakyat.

“Rakyat sudah bersuara, kita kena dengar dan selaku pemimpin tidak boleh paksa umat memilih kita. Selaku wakil rakyat, kita kena dengar kerana rakyat nak meletakkan negara ini ke landasan yang betul,” katanya.

Pada Ahad, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata, parti itu mengalu-alukan kerjasama dengan Warisan menjelang PRU15 bagi membentuk sebuah gabungan yang kuat seperti PRU yang lepas.

Jelasnya, gabungan sebegitu penting bagi membolehkan mereka memenangi lebih banyak kerusi menjelang PRU15. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top