KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan), semalam, mengumumkan dua lagi calon yang bakal bertanding mewakili parti itu bagi kawasan Parlimen Penampang dan Sepanggar pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15).
Dua calon berkenaan adalah penyandang kerusi Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking dan penyandang kerusi Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan perkara itu sempena Program Jelajah Datuk Seri Shafie Apdal serta Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Warisan Bahagian Sepanggar pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Shafie menyatakan beliau yakin dan percaya pemilihan semula Darell dan Mohd Azis sebagai dua calon bagi dua kerusi parlimen berkenaan mampu meraih hati rakyat sekali gus mencapai kemenangan di kawasan Penampang dan Sepanggar.
Sementara itu, Mohd Shafie memaklumkan pihaknya berkemungkinan bakal mengumumkan keseluruhan senarai nama calon yang akan bertanding dalam PRU15 pada awal bulan depan sebelum penamaan calon.
Sejak minggu lalu, Warisan merupakan parti pertama yang mengumumkan calon pada PRU15.
Pada 14 Oktober lalu, Shafie dalam Jelajah Warisan di Sipitang mengumumkan Datuk Adnan Puteh sebagai calon parti itu bagi kerusi Parlimen Sipitang pada PRU15.
Keesokkan harinya, Shafie mengumumkan Dr Daud Yusof, 61,yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan bakal bertanding mewakili Warisan bagi kerusi Parlimen Kimanis, manakala Ahmad Hassan dicalonkan semula di Parlimen Papar.
Warisan sebelum itu menyatakan akan bertanding di 25 kerusi Parlimen di Sabah dan beberapa kerusi di Perlis, Kedah, dan Johor.-AWANI