KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) memutuskan untuk bertanding di beberapa kawasan atau negeri di Semenanjung Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, ketika ini, kepimpinan parti sedang meneliti secara mendalam kawasan dan negeri mana yang berpotensi untuk Warisan meletakkan calon.
“Kita tahu kekuatan kita agak terbatas. Ini bukan perjuangan yang mudah namun, kita kena berusaha mencapai sesuatu yang berada di luar jangkauan.
“Kehadiran kita adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat pada PRU15,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan pada Sabtu.
Mohd Shafie berkata, beliau yakin ada beberapa negeri tidak perlu untuk Warisan bertanding dengan mengambil kira demografik pengundi-pengundi di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, selepas melakukan percubaan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi meneliti keadaan di sana, Warisan mendapati parti itu memerlukan sedikit masa untuk dikenali di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, jika parti Semenanjung yang masuk ke Sabah juga memerlukan tempoh yang lama untuk memenangi kerusi maka begitu juga dengan Warisan.
“Itu sebabnya kita sedang meneliti calon-calon yang berpotensi dan kerusi mana yang kita nak tandingi. Saya tidak boleh putuskan di sini kerana saya akan bawa perkara ini untuk perbincangan dalam Majlis Tertinggi dan biro politik yang ada.
“PRU akan diadakan pada bila-bila masa sama ada tahun ini mahupun tahun hadapan jadi, kita perlu persediaan dan perlu mengenali calon-calon kita. Untuk itu, semasa berada di Johor saya tengok apa suara-suara rakyat di sana jadi saya akan menjadikan pandangan ini asas untuk berhadapan PRU-15,” katanya.
Mengenai kerjasama yang dikatakannya pada minggu lalu, ADUN Senallang itu berkata, keterbukaan bekerjasama dengan parti tempatan itu sudah dinyatakan sejak selepas PRU-14.
Tambahnya, menjelang PRU-15 kali ini, beliau menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memutuskan parti yang akan memerintah kerana beliau tidak mahu Langkah Sheraton berulang sekali lagi.
Jelas beliau, berdasarkan trend yang berlaku di PRN Melaka dan Johor, cukup jelas bahawa tiada parti yang boleh memerintah secara mutlak maka, kerjasama antara parti masih diperlukan.