Warisan Tumpu Kukuhkan Parti Sebelum Pertimbang Sebarang Kerjasama

shafie-warisan-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) kekal dengan pendirian untuk memperkukuhkan parti terlebih dahulu sebelum membentuk sebarang kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu sentiasa bersikap terbuka namun, keutamaan mereka pada masa ini adalah untuk memperkuatkan parti.

Beliau berkata, bukannya Warisan menutup pintu untuk bekerjasama namun, beliau mahu meneliti secara mendalam dengan parti mana mereka ingin bekerjasama.

“Saya tidak mahu kerjasama yang dibentuk melemahkan kita kerana apabila kita berada dalam blok pembangkang, kita berada dalam keadaan yang lemah jadi, kalau kita tidak memperkuatkan parti, kita akan ditekan.

“Saya kena bijak menguruskan parti dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan negara ini.

“Sudah tiba masanya untuk kita melakukan reform dalam struktur politik negara bagi melihat perubahan di negara ini,” katanya selepas melancarkan Warisan Care di Ibu Pejabat Warisan semalam

Mengenai kemungkinan bergerak bersendirian, Mohd Shafie berkata, perkara itu belum diputuskan kerana Warisan mengambil pendekatan untuk mengukuhkan parti dahulu.

Menyentuh tentang kerjasama bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sejak peringkat awal lagi beliau dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalin kerjasama namun, perkara itu tidak berjalan lancar.

Malah, beliau menasihatkan Syed Saddiq untuk memperkukuhkan partinya dan beliau akan terus fokus memperkukuhkan Warisan.

Ditanya mengenai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini semakin besar, Mohd Shafie berkata, itu hak mereka memperluaskan penyertaan parti.

“Namun, jangan lupa dalam sejarah politik Sabah, negeri ini pernah diperintah oleh parti tunggal.

“Kita telah menyaksikan Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) ditumbangkan oleh parti berbilang kaum iaitu Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya). Kemudian Berjaya ditumbangkan pula oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) yang tidak mempunyai sebarang gabungan.

“Sejarah sudah tunjukkan parti tunggal boleh berjaya memerintah Sabah namun, sudah tentu kita perlu gabungan untuk memperkuatkan parti kerana kita memerlukan kerjasama orang Semenanjung Malaysia sebab kita berada dalam negara yang sama,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top