Warisan Tulis Surat Rayu Agong Batal Darurat – Shafie

shafie-apdal-emel-pic-230121-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, lapan Ahli Parlimen parti itu termasuk dirinya sudah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merayu perisytiharan darurat dibatalkan.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, walaupun Perlembagaan Persekutuan membenarkan perisytiharan darurat atas alasan keselamatan negara, perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah langkah terbaik dan mencukupi untuk menangani penularan Covid-19.

“Jika anda lihat negara lain, mereka menggunakan langkah seperti PKP untuk membendung virus itu,” katanya selepas meninjau rumah penduduk yang rosak akibat ombak tinggi di Kampung Tanjung Aru Baru.

“Ia hanya perlu diperketatkan di kawasan tertentu. Kami tidak menuntut, tetapi hanya merayu kepada baginda kerana kami akan menghormati keputusan baginda.

“Tetapi, saya tidak fikir ia adalah masa yang sesuai (untuk melaksanakan darurat).”

Pada 17 Jan lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar perisyharan darurat yang disifatkannya tidak berasas.

Langkah itu menyusul tindakannya menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membatalkan perisytiharan darurat dan sidang Parlimen diadakan sebelum 31 Jan ini.

Sebelum ini, Shafie mempersoalkan motif Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan Agong untuk mengisytiharkan darurat yang didakwa “bermotifkan politik”.

Hari ini, Shafie menggesa pihak berkuasa mempercepatkan bantuan kepada rakyat yang teruk terjejas dengan Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, kerajaan persekutuan dan negeri meluluskan sejumlah pakej bantuan, termasuk pakej bantuan perlindungan ekonomi dan rakyat Malaysia (PERMAI) berjumlah RM15 bilion yang terbaru, tetapi rakyat belum mendapat bantuan itu.

“Jika wang itu sudah ada di sana, maka kerajaan perlu memeriksa sistem penyampaian mereka,” katanya selepas menyerahkan bakul makanan dan bahan binaan kepada mangsa bencana. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top