Warisan tidak terkesan pengunduran Jo-Anna

Shafie-Jo-Anna.jpg

KOTA KINABALU: Parti Warisan tidak terkesan dengan langkah Jo-anna Sue Henley Rampas, melepaskan jawatannya dalam parti dan seolah-olah menjarakkan dirinya daripada parti tersebut.

The Star dalam laporannya semalam memetik Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai berkata, ia adalah pilihannya (Jo-Anna) kerana ahli parti datang dan pergi.

“Kami mempunyai lebih ramai ahli baharu yang menyertai berbanding yang keluar. Di Sandakan, kira-kira 500 ahli menyertai Warisan baru-baru ini.

“Kami menjangkakan lebih ramai akan menganggotai Warisan di Kudat dan kawasan lain dalam beberapa minggu akan datang,” katanya pada Ahad.

Shafie berkata, Warisan telah memberi peluang kepada bekas Unduk Ngadau itu untuk bertanding dalam dua pilihan raya tetapi dia tidak memenangi sebarang kerusi.

Jo-Anna yang suatu ketika begitu popular dalam khalayak politik Sabah dan disifatkan sebagai ‘poster girl’ Warisan pada PRU 14 baru-baru ini mengumumkan pengundurannya daripada politik.

Dalam catatannya di Facebook pada 1 Julai, Jo-Anna berkata, dia melepaskan semua jawatan Warisan tetapi tidak menyatakan sama ada dia keluar parti.

Beliau juga berkata pengunduran itu kerana ingin memberi tumpuan kepada pengajiannya di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Sarawak Malaysia (Unimas).

Tambah Jo-Anna, beliau juga tidak merancang untuk kembali aktif dalam politik pada masa ini kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada tesis dan penyelidikan yang dijalankannya sekurang-kurangnya mengambil tempoh 18 bulan hingga dua tahun.

“Bagaimanapun, saya akan terbabit dalam perbincangan dan berkongsi pendapat berkaitan situasi semasa dalam politik Sabah,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top