Warisan Tidak Ditolak Sepenuhnya Di Johor – Shafie

shafie-warisan-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kegagalan Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi mana-mana kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor bukanlah petanda penolakan sepenuhnya terhadap parti itu, kata presidennya, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal.

Beliau berkata PRN Johor diadakan tidak sampai sebulan selepas pelancaran Warisan di negeri itu pada Februari tahun ini.

“Saya tahu ia bukan keputusan yang baik, tetapi kami mahu menguji keadaan bagi mempersiapkan diri kami.”

Shafie berkata PRN Johor juga bukanlah sesuatu yang mudah kerana partinya tidak mempunyai bahagian, cawangan atau jentera di negeri itu.

Calon Warisan yang diletakkan adalah muka baharu yang tidak pernah bertanding mahupun dipilih sebelum ini, katanya.

Shafie berkata, ramai pengundi juga tidak mengenali Warisan, walaupun mereka mengenali beliau.

“Pengundi mengenali saya, tetapi mereka tidak tahu tentang parti dan calon kami.”

Namun begitu, beliau berkata kekalahan adalah perkara biasa bagi sesebuah parti politik kerana parti lama seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) juga pernah bertanding selama beberapa dekad di Sabah sebelum mereka memenangi kerusi.

“PAS telah berada di Sabah selama 30, 40 tahun, bertanding di merata tempat di Semporna, Lahad Datu dan Tawau tetapi masih belum memenangi sebarang kerusi sehingga kini,” katanya kepada media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Selasa.

Di samping itu, Shafie berkata peratusan keluar mengundi yang lemah mungkin disebabkan oleh kurangnya keinginan untuk mengundi dalam pilihan raya negeri berbanding pilihan raya umum yang boleh melibatkan pertukaran kerajaan di peringkat nasional.

Walaupun tidak memenangi mana-mana daripada enam kerusi yang ditandinginya, beliau berkata itu tidak bermakna pengundi menolak Warisan.

Di PRN Johor parti itu masih mampu meraih 6,000 undi secara keseluruhan. Malah, parti-parti sedia ada di Semenanjung Malaysia juga gagal meraih banyak undian.

Beliau seterusnya berkata parti itu akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertingginya pada hari Sabtu untuk menyusun semula strategi.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top