KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menampilkan hampir 80 peratus calon muka baharu di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pilihan raya kali ini Warisan tampilkan gabungan muka baharu dan lama selaras dengan hasrat meremajakan parti.
Daripada 26 calon yang diumumkan di Sabah dan Labuan hari ini, calon paling muda yang ditampilkan berusia 28 tahun iaitu Chen Ket Chuin yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tawau.
Beliau turut mengumumkan lima calon wanita termasuk penyandang kerusi Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dan Timbalan Wirawati Warisan, Jo-anna Sue Henley Rampas yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.
Tiga calon wanita lain ialah Amanda Yeo Yan Yin bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Siti Noorhasmawatty Osman bagi kerusi Parlimen Pensiangan dan Rowiena Rasid bagi kerusi Parlimen Beluran.
Di samping itu, Warisan turut menampilkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Bongawan, Dr. Daud Yusof bagi calon kerusi Parlimen Kimanis dan ADUN Sekong, Alias Sani bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.
Menurut beliau, pemilihan kedua-dua ADUN itu dibuat selepas mengambil kira keupayaan mereka untuk membawa kemenangan kepada parti di kawasan masing-masing. Malah, kedua-dua wakil rakyat itu merupakan tokoh yang berpengalaman.
Penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, kesemua tujuh penyandang kerusi Parlimen sedia ada kekal pertahankan kerusi masing-masing iaitu kerusi Parlimen Semporna, Penampang, Sepanggar, Kota Belud, Papar, Kalabakan dan Labuan.
Secara keseluruhan, Warisan bertanding sebanyak 52 kerusi Parlimen di seluruh negara iaitu 26 kerus di Sabah dan Labuan manakala, 26 kerusi lagi di Semenanjng Malaysia.
Jelas beliau, mungkin ada beberapa lagi tambahan calon akan bertanding atas tiket Warisan di Semenanjung Malaysia namun, ia masih belum dimuktamadkan.