Warisan Tak Perlu Ragui Kemampuan Anwar

junaidah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Wanita PKR Sabah, Junaidah Makku (gambar) menasihatkan Warisan berusaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadapnya selepas tewas dalam pilihan raya negeri September lalu, bukannya meragui kemampuan dan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga hilang kepercayaan terhadap presidennya.

Beliau berkata, kebolehan ketua pembangkang itu sudah teruji dan dikagumi bukan saja rakan serta seteru politik tempatan, malah turut diiktiraf antara terbaik oleh ahli politik asing.

“Kenyataan Timbalan Ketua Wanita Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas yang menyatakan Warisan akan meneruskan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan dan pembangkang yang lain agak melegakan, tetapi mempertikaikan kredibiliti Anwar sebagai ketua pembangkang adalah keterlaluan.

“Mungkin beliau baru masuk arena politik dan tidak begitu mengenali ahli politik lain yang berjuang melawan rejim Barisan Nasional dahulu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Rampas berkata, Warisan menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional, sebaliknya akan memperkukuhkan kerjasama dengan PH dan parti pembangkang lain.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Anwar kurang kredibiliti dalam membuat keputusan yang akan memberi kesan kepada penyokong gabungan pembangkang pada pilihan raya umum ke-15.

Junaidah berkata, Rampas perlu berterima kasih kepada perjuangan Anwar yang membuka ruang dan merintis jalan kepada pimpinan Warisan untuk merampas Sabah.

“Saya ingin menggesa pimpinan Warisan mencari titik persamaan bersama PH dan pembangkang lain untuk menjadi pembangkang yang berkualiti, seterusnya mengembalikan kepercayaan rakyat sebelum mendepani PN pada PRU15,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top