KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demkoratik (DAP) Sabah menyifatkan langkah Parti Warisan (Warisan) melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia adalah satu tindakan yang positif.
Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, Warisan sebagai parti pembangkang terbesar di Sabah tahu sekiranya ingin mengubah Sabah, mereka perlu mengubah Malaysia.
Itu antara sebab mendorong parti tersebut mengorak langkah setapak ke hadapan untuk lebarkan sayap parti ke peringkat nasional.
Beliau berkata, persoalan sama ada DAP sedia berbincang mengenai agihan kerusi bersama Warisan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), perkara itu masih terlalu awal untuk dibincangkan.
“Buat masa ini, kita biarkan mereka (Warisan) lebarkan sayap parti ke Semenanjung terlebih dahulu. Kita melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif dan kita mengalu-alukan usaha mereka.
“Sekurang-kurangnya kita tidak merendahkan usaha mereka dan melihat langkah lebarkan sayap parti sebagai sesuatu yang positif. Kita juga mahu bekerjasama dengan mereka,” katanya dalam sidang media kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang berkata, DAP mahu semua parti pembangkang termasuk Warisan bekerjasama di bawah khemah besar bagi mewujudkan perlawanan yang sengit antara pembangkang dan kerajaan.
Katanya, semua parti pembangkan perlu bersatu dan mencari titik persamaan agar dapat memulakan kerjasama secepat mungkin.
Tambahnya, mencari titik persamaan ini mungkin sukar tapi ia perlu dimulakan sekarang. Sekiranya pembangkang terus bertengkar sesama sendiri, ia akan mewujudkan rasa tidak senang hati dalam kalangan pengundi.
Maka, titik persamaan harus dicari dan perbezaan yang adda perlu diketepikan untuk membentuk kerjasama yang kukuh dalam kalangan parti-parti pembangkang.
Jin Zhe berkata, sekiranya pembangkang tidak berkerjasama, situasi yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan berulang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Lihat semula semasa PRU-14, persaingan begitu sengit kerana blok pembangkang bekerjasama sebagai sebuah pasukan sehingga Pakatan Harapan (PH) mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN).
“Kita perlu mencari titik persamaan untuk membina semula negara ini dan menyatukan rakyat. Ketika ini, rakyat hilang keyakinan apabila pembangkang bergaduh sesama sendiri.
“Apabila parti-parti politik bergaduh, kepercayaan rakyat akan semakin hilang dan ini akan menyebabkan 10 hingga 20 peratus rakyat tidak mahu keluar mengundi kerana mereka sudah muak dengan situasi ahli-ahli politim yang sering bergaduh sesama sendiri,” ujarnya. – Borneo Today