KOTA KINABALU: Parti WARISAN sudah bersedia berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, mandat telah diberikan rakyat kepada PRU-14 dan ia bukan dimiliki Barisan Nasional (BN).
“Kita sudah bersiap sedia sebenarnya untuk berhadapan dengan PRU-15 pada bila-bila masa, pada pendapat saya mandat diberikan rakyat pada PRU-14 dan bukan kepada BN.
“Jadi BN tidak seharusnya dibenarkan memerintah negara kerana mereka tidak mempunyai mandat, mengapa kita katakan hari ini pun kita boleh tumbangkan kerajaan dan kita sanggup bagi bantuan kepada mereka.
“Kita bimbang nanti rakyat pilihan raya lepas akan datang berfikir…kami undi kamu untuk memerintah bukan serah kuasa kepada BN.
“Jadi ini satu perkara yang harus diingat bahawa keyakinan rakyat terhadap kita perlu kita sedari.
“Yang kita diminta jadi wakil rakyat jadi pemerintah, maka kita harus perintah negara ini sebaik mungkin, jangan kita serahkan… jadi pilihan raya sepatutnya diadakan daripada mula ‘Sheraton Move’,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Terawih Berjemaah Bersama Masyarakat Setempat Parlimen Sepanggar di sini, semalam.
Shafie yang juga mantan Ketua Menteri berkata, PRU-15 sepatutnya diadakan ketika terjadinya Sheraton Move, peralihan kuasa tidak boleh jadi budaya bagi menstabilkan negara.
“Kita nampak keyakinan masyarakat dalam negara, malah luar negara juga tidak yakin dengan pemerintahan hari ini di Malaysia,” katanya.
Ketika ditanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah yakin mampu merampas Kerusi Parlimen Batu Sapi pada PRU-15, Shafie berkata biar rakyat kawasan itu menentukan.
“Bukan BERSATU tentukan, yang menentukan di semua Kerusi adalah rakyat, mereka juga yakin menang di Johor tapi kalah juga…jadi biar rakyat tentukan,” katanya.
Sementara itu katanya, kemasukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas ke dalam WARISAN yang sebelum itu bersama DAP adalah pilihan mereka.
Katanya, dahulu mereka bertanding atas tiket WARISAN dan sebelum itu mereka juga kecewa dengan kepimpinan parti DAP.
“Selepas itu mereka keluar menjadi Bebas seterusnya menyatakan mahu berjuang dalam parti tempatan,” katanya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Presiden WARISAN Datuk Darell Leiking, Naib Preisiden WARISAN Datuk Jaujan Sambakong, Ketua Wira WARISAN merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman serta barisan kepimpinan WARISAN yang lain.
Pada majlis berkenaan, Shafie turut menyampaikan bantuan kepada 30 golongan asnaf dari sekitar Tebobon, Sepanggar. – Utusan Borneo