KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menyatakan keterbukaan untuk menerima tiga bekas pemimpin DAP Sabah sekiranya mereka ingin menyertai parti berkenaan.
Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sekiranya ADUN Bebas Teratai dari Selangor boleh diterima maka, tidak mustahil untuk Warisan menerima bekas ADUN DAP Sabah.
Namun, setakat ini bekas pemimpin DAP itu belum berjumpa mahupun menyatakan hasrat ingin menyertai Warisan dan parti ini juga belum ada mendekati mereka.
“Saya hanya baca laporan dalam surat khabar bahawa keyakinan mereka dalam DAP sudah menurun dan mereka mahu perjuangkan hak yang ada di Sabah.
“Itu suara mereka dan saya tidak tahu kemana mereka mahu pergi tapi, kalau mereka ingin beralih kepada mana-mana parti seperti Warisan, kita sentiasa terbuka,” katanya ketika ditemui semasa walkbaout di Pasar Tamu Jalan Gaya pada Ahad.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, DAP Sabah sebelum ini menggunakan logo Warisan semasa bertanding pada pilihan raya negeri yang lalu maka, tidak menjadi masalah untuk menerima mereka.
Namun, beliau akan melihat kembali pendirian bekas pemimpin DAP itu kerana tidak mahu ada unsur-unsur lain.
“Tiada jawatan mahupun duit akan diberi tapi, kalau mereka mahu bekerjasama untuk memastikan suara kita lebih kedengaran dan ingin menyatukan rakyat maka, tidak jadi masalah dengan kita (terima mereka),” ujarnya.
Tiga bekas pemimpin DAP Sabah yang keluar parti pada 20 Januari lalu ialah ADUN Sri Tanjong Justin Wong, ADUN Elopura, Calvin Chong dan bekas Senator Adrian Lasimbang.