Warisan Salur Bantuan Keperluan Tempat Tinggal Kepada Mangsa Kebakaran

warisan-mangsa-kebakaran.jpg

Sarifuddin (enam dari kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran. Turut sama ADUN Sri Tanjong Justin Wong (lima dari kiri).

Kongsi Bersama

TAWAU: Parti Warisan (Warisan) mengambil inisiatif menyalurkan bantuan papan lapis dan tilam bagi keperluan tempat tinggal sementara mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, di sini pagi semalam.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Sarifuddin Hata berkata bantuan itu adalah hasil pemerhatian ke atas keperluan mangsa kebakaran pada ketika ini.

“Bantuan berupa bahan membina pondok sementara dan keperluan tempat tidur itu juga adalah permintaan mangsa kebakaran sebelum ini.

“Kita melihat keperluan bantuan itu setelah beberapa kali, Warisan turun padang menyalurkan sumbangan bakul makanan dan wang tunai,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai berkata demikian ketika menyampaikan bantuan sebanyak 500 keping papan lapis, 100 buah tilam dan 50 bakul makanan, di sini.

Turut hadir, ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin; ADUN Kukusan, Rina Jainal; Mantan Timbalan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Koh Kian Leong dan Ketua Wanita Warisan Bahagian Tawau, Andi Rus Diana.

Katanya, mangsa kebakaran ketika ini tinggal di pondok-pondok yang mereka dirikan sendiri di tepi jalan tanpa ada dinding dan lantai.

“Justeru, Parti Warisan melihat bantuan yang diagihkan perlu mengikut keperluan mangsa dan kami akan sentiasa turun membantu dari semasa ke semasa.

“Bantuan ini dikhususkan kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga uzur dan anak kecil yang memerlukan perhatian serta penjagaan rapi,” katanya.

Sarifuddin menyeru pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta supaya turut turun padang membantu mangsa kebakaran dengan membina penempatan sementara yang lebih selesa.

Justin pula mencadangkan agar lokasi kebakaran dibangunkan dengan program perumahan rakyat (PPR) agar mangsa kebakaran dapat tinggal di kawasan yang sah.

“Tapak ini adalah tanah kerajaan dan tidak susah sekiranya mahu membangunkan sebuah penempatan PPR untuk warganegara yang tinggal di Kampung Kurnia Jaya.

“Bagaimanapun, kerajaan perlu segera membuat keputusan itu supaya penduduk di sini tidak dibiarkan tinggal di pondok dalam tempoh yang lama,” katanya.

Sementara itu, Rina pula berkata Warisan akan cuba sedaya upaya untuk terus membantu mangsa kebakaran dan melihat keperluan mereka di sini.

“Selain itu, kami juga membantu mereka yang tercicir menerima bantuan sebelum ini terutamanya dari segi bakul makanan.

“Kita juga akan kerap turun padang di lokasi ini untuk membantu mangsa kebakaran sekiranya terdapat keperluan yang mendesak,” katanya. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top