KOTA KINABALU: Penamatan konsesi syarikat menguruskan loji rawatan air oleh kerajaan Parti Warisan sebelum ini adalah punca masalah air Sabah sekarang, kata Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Ketua Menteri Sabah itu berkata pembangkang tidak menceritakan perkara sebenar dan meletakkan kesalahan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan Plus atas masalah air di negeri ini sekarang.
Beliau berkata kerajaan negeri juga terpaksa membayar pampasan kira-kira RM315 juta berikutan saman oleh sembilan syarikat berkenaan kerana kerajaan Warisan menamatkan perkhidmatan mereka sejurus selepas berkuasa pada 2018.
“Mereka menamatkan sembilan syarikat konsesi tanpa asas,” katanya ketika merasmikan mesyuarat tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Pitas pada Isnin.
Hajiji, yang merupakan presiden Gagasan Rakyat, mendakwa kerajaan Warisan melantik syarikat baharu yang tidak berpengalaman.
“Syarikat baharu ini gagal menguruskan bekalan air negeri dengan baik,” katanya.
Beliau juga berkata beliau dinasihatkan untuk menamatkan kontrak yang diberikan Warisan apabila GRS mengambil alih pada September 2020 tetapi memutuskan untuk tidak melakukannya kerana ia akan membebankan lagi negeri kerana perlu membayar lebih banyak pampasan.
Bagaimanapun jelasnya, sekarang WARISAN menuduh kerajaan GRS-PH Plus sedangkan syarikat kontraktor yang mereka lantik sendiri tidak pandai buat kerja hingga menyebabkan masalah air sekarang bertambah teruk.
“Rakyat tidak tahu perkara ini sedangkan kerajaan WARISAN sebelum ini yang tidak buat kerja dengan betul kerana sikap dendam mereka,” katanya.