Warisan Pertaruh Bekas Ketua Wanita UMNO Sabah di Sungai Sibuga

armani.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia politik, buat pertama kalinya mantan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Armani Mahiruddin dipilih untuk bertanding menjadi calon pilihan raya.

Beliau yang akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga mewakili Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan antara enam calon wanita yang ditampilkan parti berkenaan.

Menurutnya, bertanding untuk kerusi Sungai Sibuga mungkin dirinya bakal menghadapi cabaran besar serta saingan yang sengit.

Namun, beliau yakin pengalaman politik yang banyak di kawasan itu akan membantunya untuk melaksanakan gerak kerja dengan lebih baik.

Bekas Ketua Wanita UMNO Sabah ini juga mahu bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada WARISAN dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Saya sudah menjadi ketua wanita semasa bersama UMNO di Sungai Sibuga ini selama 22 tahun dan semua pelusuk bukan saja Sungai Sibuga, malah Sungai Manila dan Gum-Gum juga di bawah jagaan saya.

“Saya anggap rezeki saya sudah sampai dan dengan rendah hati atas kepercayaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Saya akan bekerja keras untuk kemenangan WARISAN di kawasan Sungai Sibuga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Pengumuman Calon WARISAN Plus PRN Sabah Ke-16 dan Pelancaran Visi dan Misi WARISAN Plus di sini semalam.

Dalam pada itu, Armani turut tidak menyangka dapat dipilih menjadi calon dan ini adalah pengalaman pertamanya bertanding dalam pilihan raya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top