KOTA KINABALU: Seorang penganalisis berpendapat, agak sukar bagi Warisan untuk berjaya di Semenanjung pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) melainkan ia membuang imej kenegeriannya.
“Apa yang perlu dilakukan (Warisan), jika berhasrat untuk memiliki kerusi (di Semenanjung) adalah membuang imej kenegerian Sabah yang selama ini begitu kuat hingga dilihat tidak sesuai dikembangkan di Semenanjung,” kata Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.
Di samping itu beliau berkata, kehadiran Warisan di Semenanjung bukan sahaja akan “dihantui” parti-parti yang lebih lama, malah akan turut berdepan parti baharu yang lain.
Warisan juga akan mengalami kesukaran jika bersendirian kerana parti itu masih dianggap parti baharu, tambahnya.
“Bagaimanapun, kerjasama dengan parti MUDA pimpinan Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) mampu berikan sedikit kekuatan kepada mereka walaupun belum tentu dapat menghakis parti-parti lama yang lain,” katanya.
Ahad lepas, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu bakal melancarkan sayapnya di Semenanjung pada 17 Dis dengan tumpuan diberikan di beberapa kawasan tertentu.
Katanya, langkah itu bagi memastikan Warisan mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan di kawasan yang boleh memberi impak pada PRU15.
Beliau berkata, walaupun perkara penting ketika ini adalah melebarkan sayap parti itu ke Semenanjung, namun mereka tidak mahu bercita-cita terlalu tinggi untuk membuka cawangan di semua kawasan.
Shafie turut mendakwa terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Semenanjung yang menyatakan kesediaan mereka menyertai Warisan. – FMT