Warisan Perhalusi Kerusi Yang Bakal Ditandingi Dengan Ambil Kira Penyertaan PBS

shafie-maximus.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Warisan akan memperhalusi sama ada akan bertanding di kesemua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan satu kerusi di Labuan dengan mengambil kira ‘jika ada PBS’, lapor FMT.

Menurut laporan itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal bagaimanapun, enggan mengulas mengapa hanya PBS yang disebutnya namun menegaskan apa yang penting ketika ini adalah parti itu perlu ‘perkuatkan diri’ terlebih dahulu.

“Kita akan perhalusi (sama ada akan bertanding di semua 26 kerusi di Sabah dan Labuan), kita tengoklah kalau PBS ada, adalah…kalau tiada, tiadalah tu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu, di Kolombong, dekat sini, pada Isnin.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, setakat ini parti berkenaan belum mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti atau gabungan politik kerana sibuk dengan mesyuarat agung tahunan yang akan diadakan pada 26 dan 27 Ogos depan.

“Kita tunggulah, kita akan umumkan apabila tiba masa sesuai nanti,” katanya.

Terdahulu sebelum ini, Shafie secara terbuka pernah menyatakan yang Warisan berminat untuk menjalinkan kerjasama politik dengan PBS kerana berpendapat dua parti berkenaan mempunyai persamaan dari segi perjuangan.

Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili juga pernah membuat kenyataan yang mereka bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk Warisan jika ianya memberi manfaat kepada Rakyat Sabah.

Dalam perkembangan lain, Shafie berkata, mesyuarat agung tahunan serta pemilihan parti itu akan diadakan di Dewan KDCA, di Penampang, pada 26 dan 27 Ogos depan.

Katanya, antara agenda utama mesyuarat itu adalah bagi meminda perlembagaan parti selaras dengan pindaan rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti yang telah diluluskan pada sidang Parlimen dan Dewan Rakyat yang lalu.

“Kita akan masukkan perkara-perkara yang ada dalam RUU (anti-lompat parti) ke dalam perlembagaan parti, saya rasa Warisan parti pertama yang berbuat demikian dan saya harap juga RUU anti-lompat parti ini juga akan diluluskan di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri).

“Seperti saya tegaskan sebelum ini, adakan sidang khas DUN untuk pembentangan, perbahasan seterusnya meluluskan RUU berkenaan, saya selaku ketua pembangkang di DUN bersama rakan-rakan lain akan menyokongnya,”katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top