SEMPORNA: Parti Warisan (Warisan) mahu mewujudkan satu landasan politik berasaskan pelbagai bangsa dan agama untuk membangunkan sebuah negara yang harmoni dan adil.
Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Warisan kini berada di landasan yang betul untuk tujuan itu.
Katanya, pengalaman 30 tahun dalam UMNO dan 6 tahun bersama Pakatan Harapan (PH) tidak menunjukkan perjuangan untuk semua bangsa.
“Yang perlu kita lihat ialah bagaimana rakyat di negara ini dapat kita padukan. Kita telah cuba 60 lebih tahun menggunakan landasan politik yang sebenarnya memecah belah, landasan politik sehingga berdasarkan kaum.
“Saya dahulu di dalam UMNO 30 tahun, bukan tidak ada, begitu juga dalam Pakatan Harapan 6 tahun, tetapi sekarang ini kita mempunyai landasan iaitu The New Road kita katakan, berbagai bangsa.
“Kalau negara Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa, takkan pula landasan politik tidak boleh kita lahirkan sebagai sebuah landasan pelbagai bangsa yang ada,” katanya.
Mohd Shafie berkata demikian ketika ditemui media di majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Semporna, kelmarin.