WARISAN laksana gotong-royong bersihkan bandar Semporna

gotong-royong-warisan.jpg

SEMPORNA: Susulan kenyataan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) berkenaan isu kebersihan di Semporna, Parti Warisan (WARISAN) tampil mengadakan program gotong-royong bagi membersihkan kawasan di sekitar bandar di daerah ini.

Seramai kira-kira 200 ahli dan pemimpin WARISAN Semporna terlibat dalam program gotong-royong berkenaan yang dianjurkan Biro Ekonomi WARISAN Parlimen Semporna.

Pengerusinya, Soh Swee Tian berkata, program itu adalah saranan dan galakan daripada Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Katanya, tujuan program itu adalah sebagai maklum balas daripada kenyataan MOTAC dan aduan mengenai tahap kebersihan di daerah ini.

“Kita mengambil maklum mengenai aduan berkenaan walaupun perkara ini melibatkan beberapa pelancong dan hanya tular di media sosial sahaja.

“Justeru, sempena bulan kemerdekaan ini, parti WARISAN mengambil inisiatif mengadakan program berkenaan sebagai tanda kita mahukan Semporna menjadi bandar yang lebih bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam program gotong-royong Merdeka Semporna Bersih, di sini semalam.

Turut terlibat Majlis Daerah Semporna, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Menurutnya, daerah ini adalah tempat tumpuan pelancong antarabangsa dan sudah pasti ia perlu sentiasa bersih dari segi persekitaran mahupun makanan.

“Saya berharap semua pemain sektor pelancongan terutamanya pengusaha restoran mengambil peranan penting menjaga kebersihan supaya tiada lagi kes keracunan makanan di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Pengusaha Ghazal Kitchen, Hajar Haji Mansur berkata, pihaknya sentiasa mengambil maklum soal kebersihan supaya pelanggan yang datang berasa puas hati.

“Saya memang ada mendengar mengenai pelancong yang keracunan makanan di daerah ini, namun tidak pasti dari mana puncanya.

“Perkara itu juga telah memberi kerisauan terhadap semua pengusaha restoran termasuk saya kerana ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada industri pelancongan di daerah ini,” katanya.

Hajar berkata, selama lebih dua tahun mengusahakan restoran ini, tidak pernah lagi pelanggan atau pelancong yang datang mengadu keracunan makanan.

“Saya sentiasa memastikan restoran kami bersih sama ada di ruang makan, persekitaran, dapur dan tandas, selain pekerja juga perlu mengutamakan kebersihan.

“Saya berharap semua pengusaha restoran menjaga nama baik daerah ini sebagai destinasi pelancongan paling popular di dunia,” katanya.

Bagi Pengerusi Pelancongan Bumiputera Semporna, Kerino Jalani pula menggesa semua pemain sektor pelancongan di daerah ini tidak memandang remeh soal kebersihan.

Katanya, daerah Semporna perlu sentiasa dalam keadaan bersih supaya pelancong dalam dan luar negara tidak memandang negatif dengan daerah ini.

“Pemain industri pelancong perlu bersama-sama menjaga kualiti dan perkhidmatan mereka terutamanya pengusaha makanan supaya tidak mendatangkan mudarat kepada pelancong.

“Masyarakat di daerah ini juga perlu mengambil peranan menjaga kebersihan bandar dan pantai kita supaya industri pelancongan di sini bertambah baik,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top